Tunjuk jari tengah, itu kehendak pengarah - Fify Azmi - Utusan Malaysia

Tunjuk jari tengah, itu kehendak pengarah – Fify Azmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon berbakat besar, Fify Azmi, 33, bersedia menerima kritikan peminat berhubung aksi kurang sopan yang ditonjolkan dalam filem Fanna arahan Andy Weng Sum Liew.

Beberapa kali menunjukkan jari tengah yang sering difahami sebagai isyarat lucah, Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi bagaimanapun menegaskan, dia hanya menuruti kehendak pengarah demi watak Fanna.

“Sebenarnya, saya ingat aksi tunjuk isyarat hari tengah itu mereka (produksi) akan buang tahu. Sampai beberapa kali jugalah aksi itu terdapat dalam filem ini.

“Aksi itu pengarah yang suruh buat. Saya sendiri pun terkejut tetapi okey saja untuk lakonkan sebab saya faham, ini filem.

“Benda macam ini tak ada masalah pun. Cuma, bagi saya, kalau dia setakat dikaburkan, lebih baik tak payah ditayangkan. Buang saja babak itu,”katanya.

Fify berkata demikian semasa ditemui selepas majlis Tayangan Perdana Filem Fanna di ibu negara, semalam.

Selain itu, menurut pemenang Anugerah Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-31 ini, dia secara peribadi tidak bersetuju jika aksi itu terus dipaparkan kerana bimbang mampu mengundang imej buruk pada dirinya.

“Pada mulanya memang nampak macam tak ‘best’. Tetapi bila fikir balik, tak apalah, ini kan filem dan cuma sekadar lakonan.

“Saya faham ada beberapa perkara yang tak boleh dipertontonkan, tetapi ini filem, bukan drama,”katanya.

Sementara itu, pengarah filem tersebut, Andy, menjelaskan, babak Fify menunjukkan isyarat jari tengah itu dianggap sebagai satu aksi semula jadi bagi memaparkan emosi kemarahan.

Kata Andy, pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga telah meneliti babak tersebut dan mencadangkan agar aksi itu cuma dikaburkan sahaja.

“Saya tak ada fikir apa, cuma itu adalah apa yang kita secara semula jadinya buat kalau kita terlalu marah akan sesuatu hal dan sebagainya.

“Bila dinilai di LPF, mereka pun tidak potong babak itu namun meminta kami untuk mengaburkan aksi tersebut di layar untuk tayangan.Tetapi, untuk babak-babak lain, banyak juga dalam filem ini yang dipotong,”katanya.

Fanna merupakan sebuah filem aksi gangsterism yang ditulis oleh Azlina Pa’wan dan diterbitkan oleh syarikat produksi Jaguar Lim Films & Productions Sdn. Bhd dengan kerjasama Metrowealth sebagai pengedar.

Bakal ditayangkan pada 28 September ini di seluruh pawagam, filem ini turut dibintangi oleh Syafie Naswip, Colleen Rosanna Augustin, Andy Black Tan, Rashid Salleh, Charles Nilbert, Kenji Sawahii, Sahronizam, Roy Azman, Aleza Shadan dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN