Kasihan Poklip dengan nasib kru dan pelakon sebuah filem yang telah pun ditayangkan beberapa bulan lalu. Mana tidaknya, filemnya sudah habis tayangan, baki bayaran masih belum terlihat.
Ceritanya, ada seorang kru filem ini mengadu, katanya sehingga sekarang penerbit masih belum melangsaikan baki bayaran yang sepatutnya sudah berbulan-bulan selesai.
Setiap kali kru atau pelakon bertanya, ada sahaja alasan yang diberikan. Dana masih belum dapat, duit tak cukup atau syarikat ada masalah sedikit. Aduh, boleh jadi gila menuntut hutang ini.
Namun dalam diam, rupanya penerbit itu dikatakan semakin ligat meminjam duit daripada rakan-rakan pemain industri seni lain. Katanya ada filem baharu hendak diterbitkan.
Amaun yang dipinjam pun bukanlah kecil-kecil anak. Yelahkan, nak buat filem, takkan minta RM200 kan. Cuma yang tak seronoknya, bila ditanya tentang hutang, diam seribu bahasa.
Malah ada kru yang satu sen pun belum dapat bayaran kerana percaya dengan penerbit tersebut. Bila masa janji ditabur, bukan sekadar bulan, bintang pun dia boleh gapai tau.
Poklip sendiri pun tak faham dengan sikap orang yang suka berhutang ini. Seronok sangat ke kumpul hutang? Sampai menyusahkan ramai pihak. Bukankah itu lebih menyesakkan?
Kita tunggu sahajalah nasib penerbit tersebut. Jangan galak sangat sekarang. Industri seni kita ini tidaklah besar mana, Sekejap sahaja cerita sampai. Silap hari bulan, boleh meringkuk masuk dalam. Awas!