KUALA LUMPUR : Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 44, mengakui hampir putus asa dan reda sekiranya masalah gangguan pada peti suaranya tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih seperti sedia kala.
Menurut Siti, perkara itu berlaku sewaktu memenuhi komitmen untuk melangsaikan proses rakaman album terbaharunya, Sitism sekitar awal tahun lalu.
“Proses merakamkan album ini mengambil masa selama tiga bulan bermula Februari lalu. Dalam tempoh itu, hanya Allah SWT saja yang tahu betapa susah dan berusahanya saya untuk melangsaikan komitmen ini.
“Saya mengalami sakit tekak yang teruk, suara jadi serak dan ia menjejaskan peti suara. Sebagai penyanyi, suara adalah aset utama. Jadi saya sangat risau jika masalah kesihatan ini tidak pulih.
“Sampaikan saya terfikir, adakah mungkin Allah nak tarik sikit nikmat suara ini? Walaupun rasa sedih, namun satu tahap saya redha dan cuba juga fikir positif,”katanya.
Siti berkata demikian semasa ditemui pada sidang media pelancaran Album Sitism di ibu negara, hari ini.
Turut hadir ialah barisan komposer dan penulis lirik yang terlibat dalam pembikinan album tersebut seperti Aubrey Suwito, Luca Sickta, Sharon Paul, Mingaling, Tomok, Andi Rianto dan Mas Dewangga.
Jelas Siti, dia bagaimanapun tetap tidak mahu mengalah dan berdoa agar masalah gangguan peti suaranya itu segera pulih sambil mengambil inisiatif bertemu dengan pakar kesihatan.
“Pengurus, Kak Rozie, adalah orang yang paling risau akan kesihatan saya sampai sentiasa pastikan saya berjumpa dengan doktor pakar, bukan sekali tapi berkali-kali.
“Nak pulihkan kembali suara ini pula mengambil masa yang sangat lama, sebab itulah saya rasa ‘down’. Bila nak sihat sikit, anak pula sakit, jadi lambatlah kita pun nak sihat.
“Tetapi Alhamdulillah, sekarang suara saya dah kembali okey dan saya bersyukur dah boleh menyanyi dengan baik. Kalau tidak, setiap kali nak menyanyi saja kena panaskan suara hampir setengah jam,”katanya.
Berkongsi mengenai pembikinan album, kata Siti, meskipun sepanjang merakamkan album Sitism dia berdepan dengan masalah peti suara, namun ada antara komposer yang suka dengan suara serak yang dialaminya waktu itu.
Katanya, antara komposer tersebut ialah Adi Rianto dan Farouk yang menyifatkan wujud kelainan dan sisi berbeza Siti dalam album ini .
“Ada tiga ke empat lagu yabg saya rakamkan dua kali sebab rasa tak puas hati dek masalah suara yang dialami. Tetapi ada pula komposer yang suka suara serak saya masa itu.
“Kata mereka suara begitu berbeza untuk saya. Tetapi bagi diri sendiri, saya rasa tak puas hati. Biasanya, sebuah lagu yang dirakamkan cuma mengambil masa satu jam sahaja. Tetapj disebabkan masalah suara yang teruk, tiga jam juga saya perlu peruntukan untuk selesaikan sebuah lagu.
“Sebab itu saya katakan pada pengurus supaya beri saya ruang untuk buat yang terbaik dan sempurnakan album ini mengikut kemampuan saya. Tak mahu ia dihasilkan pada kadar tergesa-gesa,”katanya.
Sementara itu, lagu-lagu dalam album Sitism sehingga kini telah mendapat 1.6 juta trim sejak dilancarkan sehingga pertengahan September 2023.
Album terbitan Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal yang dijual di kedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.
Sitism memuatkan 12 buah lagu iaitu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik).
Selain itu, turut diselitkan ialah lagu berjudul Romansa Kita (Sharon Paul/Rozisangdewi), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara), Magis (Mas Dewangga & Jova Devito), Senyawa (Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana) dan Kusedari (Dato’ Sri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).