Konsert Milenia ditunda 25 November 2023 - Utusan Malaysia

Konsert Milenia ditunda 25 November 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bagi menghormati sambutan Maulidur Rasul, Konsert Milenia yang dijadualkan berlangsung pada 30 September ini telah ditunda kepada tarikh baharu iaitu pada 25 November 2023.

Menurut penganjur dan Pengarah Urusan Mission Sight Sdn Bhd, Jeffri Yaacob, pihaknya masih mengekalkan Stadium Malawati Shah Alam sebagai lokasi konsert dan persetujuan itu telah dicapai bersama pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Jeffri berkata, sudah menjadi tanggungjawab penganjur agar sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan menjaga keharmonian semua pihak. 

“Diharap dengan penundaan Konsert Milenia ke tarikh yang lebih sesuai dapat membuka ruang kepada lebih ramai lagi penonton untuk sama-sama memeriahkan acara ini bersama-sama dengan kami. 

“Tambahan lagi, kami juga bercadang untuk mengadakan Muzik Milenia Food Festival selama empat hari berturut-turut di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam bermula pada 23 hingga 26 November 2023. 

“Pihak kami sedang merangka strategi untuk menyediakan pelbagai acara yang dibarisi oleh selebriti, TikTokers dan usahawan tempatan.Justeru itu, kami berbesar hati ingin mempelawa TikTokers, vendor-vendor makanan atau produk viral tempatan termasuk Indonesia untuk menyertai festival ini,”katanya.

Selain itu, kata Jeffri, penundaan ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan kerjasama di antara dua negara iaitu, Malaysia dan Indonesia selain memberi peluang pemasaran lebih meluas kepada Konsert Milenia.

 Terdahulu, konsert ini menjadi tular kerana dinamakan sebagai ‘Konsert Goyang Asia Koplo Milenia’dan  telah mengundang persepsi negatif segelintir masyarakat.

Prihatin dengan isu tersebut, penganjur telah melakukan penjenamaan semula dengan menukarnya kepada ‘Konsert Milenia’, yang dilihat lebih universal sekaligus menghapuskan persepsi kurang enak dalam kalangan masyarakat.

“Kami sedar genre dangdut sering mengundang persepsi negatif sehingga mencetus kebimbangan dalam kalangan masyarakat disebabkan tarian gelek dan aksi seksi yang dianggap mencolok mata dan lucah.

“Persepsi sedemikian timbul mungkin disebabkan orang kita sudah terbiasa disajikan dengan persembahan dangdut dan gelek di Indonesia.Di Malaysia, kita ada garis panduan yang perlu dipatuhi dan segala terma serta syarat penganjuran konsert Milenia ini telah ditapis oleh 14 agensi di bawah PUSPAL.

“Garis panduan yang disediakan juga tegas iaitu, tidak membenarkan para artis yang membuat persembahan mengenakan pakaian seksi dan terdedah, persembahan tidak menonjolkan unsur-unsur lucah seperti bergelek berlebihan dan mencolok mata serta yang boleh memberi impak negatif,” katanya.

Objektif penganjuran konsert ini adalah untuk memartabatkan muzik dangdut di Malaysia yang selama ini dipandang sebagai genre muzik kelas kedua.

Antara bintang yang akan menjayakan konsert ini ialah Amelina, Ani Maiyuni, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-Klepek,Rheyna Morena termasuk penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima.

Selain itu, bagi menarik peminat-peminat muda, DJ Dugem popular iaitu, DJ ACE dan DJ Bob Arjuna turut diundang untuk memeriahkan lagi malam konsert tersebut.

Tiket boleh didapati di laman sesawang tiket2u.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN