KUALA LUMPUR : Penyanyi, Rizky Febian, 25, mengakui kedua-dua keluarga sudah berbincang mengenai status agama tunangnya, Mahalini Raharja, 23.
Namun Rizky menegaskan, urusan kepercayaan dan agama adalah sesuatu yang sangat sensitif dan tidak mahu terlalu memaksa mengenainya.
“Saya bukan tidak mahu membicarakan ini secara terbuka namun isu agama terlalu sensitif.Kalau boleh saya tidak mahu terlalu memaksa kerana perkara ini melibatkan hati nurani. Biarlah waktu yang menentukan.
“Sudah ada perancangan antara kedua-dua keluarga. Kami sangat gembira kerana mereka sangat memahami antara satu sama lain,” katanya.
Rizky Febian ditemui Utusan Malaysia di sidang media Konsert Album: Berona Day Rizky Febian, di sini, hari ini.
Penyanyi lagu ‘Cuek’ yang dijangka bakal melangsungkan perkahwinan tahun hadapan turut berkongsi tanggapannya mengenai alam rumah tangga bersama Mahalini.
“Perihal membimbing isteri, saya tunjukkan peribadi dan ingin menjadi contoh yang baik kepada Mahalini.
Kami juga turut berbincang saya ini seperti apa, kemahuannya seperti apa dan tanggapan kami terhadap perkahwinan.
“Doakan kami agar semuanya berjalan lancar,” katanya yang turut menafikan mendedahkan tarikh perkahwinan menerusi album ‘Berona’ seperti dilaporkan media Indonesia sebelum ini.
Rizky mengikat tali pertunangan dengan Mahalini yang juga beragama Hindu di sebuah sebuah majlis sederhana di Jakarta, pada 7 Mei lalu.
Dalam perkembangan lain, Rizky bakal tampil dengan konsert solo keduanya di Malaysia pada 3 November akan datang.
Konsert Album: Berona Day Rizky Febian yang bakal berlangsung selama 2 jam itu akan menjadi sebahagian daripada rangka promosi album terbaharunya itu.
Tiket mula dijual pada 7 September di hitmanlive.com dengan harga serendah RM178.