KUALA LUMPUR : Arena seni tanah air nampaknya semakin meriah dengan lambakan konsert artis tempatan mahupun antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi mereka untuk mengadakan persembahan.
Bakal mengambil giliran ialah kumpulan The Mersey Beatles yang akan dibawakan oleh Yolo Malaysia bagi menjayakan siri persembahan mereka di The Platform @ Menara Ken TTDI, pada 26 dan 27 Ogos ini.
Mendapat jolokan band tribute The Beatles, persembahan The Mersey Beatles itu adalah sebahagian daripada hasrat meraikan ulang tahun ke-60 kumpulan rock legenda tersebut.
Dipuji sebagai band tribute The Beatles terbaik oleh Kelab Peminat Beatles British (British Beatles Fan Club), The Mersey Beatles dianggotai oleh empat jejaka iaitu Mark Bloor, Steven Howard, Brian Ambrose dan Craig McGown masing-masing menggunakan impersonasi John, Paul, Ringo dan George.
Band tribute ini juga mendapat pujian dari Julia Baird, adik John Lennon, yang menganggap The Mersey Beatles benar-benar menghidupkan muzik dan lagu-lagu The Beatles.
The Mersey Beatles telah menghibur dan mengujakan penonton dengan konsert-konsert menggegarkan yang habis terjual di seluruh dunia sejak 1999 dan menampilkan persembahan hebat di kebanyakan festival Beatles.
Band ini bukan sekadar berjaya menjiwai dan menjelmakan semula The Beatles dari segi luaran dan dalaman, bahkan kemampuannya merencana setiap persembahan menjadi pengalaman baru yang cukup menarik buat penonton melonjakkan populariti mereka berempat selama ini.
Menurut pengasas YOLO Asia, Ib Harun, YOLO hadir untuk mewujudkan pengalaman hiburan yang lebih interaktif dan bermakna buat penonton dan kerana itu format persembahan ini lebih kecil bagi mewujudkan suasana yang lebih mesra untuk peminat sebenar The Beatles.
Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, JHaniff Hamzah pula berkata, YOLO menyasarkan untuk membawa pelbagai jenis hiburan kepada rakyat Malaysia, daripada artis tempatan dan indie kepada artis terkenal di peringkat antarabangsa.
“Seperti The Beatles, empat jejaka The Mersey Beatles juga dilahirkan dan dibesarkan di Liverpool, malah turut menjadi band residen di Kelab Cavern yang terkenal di dunia, dan di kelab inilah keunikan The Beatles mula terserlah 60 tahun lalu.
“Selepas Malaysia, The Mersey Beatles akan pulang ke Liverpool untuk mengadakan persembahan tribute Beatles terbesar di Arena M&S Bank yang cukup berprestij.
“Band ini akan beraksi di hadapan lebih 4000 penonton di tempat kelahiran John, Paul, George dan Ringo. Khabarnya, tiket untuk acara yang sangat dinanti-nantikan itu sudah habis terjual sejak ia mula ditawarkan pada Disember tahun lalu,”katanya.
Untuk info, empat persembahan Come Together di Malaysia ini akan membabitkan dua persembahan sehari iaitu pada jam 3.30 petang dan 8 malam.
Tiket-tiket yang berharga RM368, RM288, RM238 dan RM188 kini boleh dibeli di www.yoloasia.com.