Majlis resepsi Tom dan Fuad dapat tajaan RM1 juta - Utusan Malaysia

Majlis resepsi Tom dan Fuad dapat tajaan RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selamat bergelar suami isteri lapan hari lalu, pasangan penyanyi Tom dan Fuad Rahman beroleh pula rezeki terpijak apabila diraikan dalam sebuah majlis resepsi dengan tajaan bernilai RM1 juta daripada Starvendors.

Tidak cuma itu, Tom dan Fuad turut mencatat rekod apabila menjadi pasangan artis pertama yang diraikan sempena penganjuran Starvendor Foodstival X Festival Nunsatara Music yang berlangsung di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Tom berkata, dia tidak menyangka akan diraikan semeriah itu namun berterima kasih kepada semua pihak yang telah mengatur perjalanan majlis istimewa tersebut buatnya dan suami.

“Terima kasih kepada Ifa Raziah dan seluruh pasukan Starvendors kerana sudi meraikan perkahwinan kami ini.

“Saya tak sangka sangat sebab niatnya cuma ingin buat yang sederhana sahaja. Syukur Alhamdulillah,”katanya.

Selain itu, berkongsi mengenai detik percintaan mereka, Fuad tidak menyangka apabila jodoh mereka yang sebelum ini terhenti di tengah jalan kembali bertaut semula selepas sama-sama menyertai Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9).

“Kalau ingin berkongsi mengenai detik bercinta itu, sudah lama sebenarnya. Kami bercinta daripada dahulu, cumanya on off sahaja. Kemudian kami tidak berhubung untuk masa yang lama.

“Kami tidak dijodohkan ketika itu apabila Tom sudah berkahwin lain dan saya berjumpa dengan jodoh saya. Kemudian siapa sangka, takdir menemukan semula kami di GV9.

“Sejak GV, saya merasakan itu masa yang paling tepat untuk pilih dia sebagai isteri. Daripada GV juga saya dah beritahu Tom saya ingin bersama dia, menemaninya sehingga ke akhir hayat.

“Saya memang sangat sayangkan dia dan tak fikir lama untuk bertemu dengan kedua-dua belah keluarga. Semuanya menerima baik dan tumpang gembira bila tahu kami ingin mendirikan rumah tangga,”katanya.

Pasangan itu mengambil pentas utama acara Foodstival dengan hiasan pelamin yang cukup mewah sambil diraikan oleh ribuan tetamu yang hadir.

Starvendor Foodstival X Fetival Nunsatara Music telah berlansung pada 3 hingga 5hb Mar 2023 dengan kerjasama Tourism Johor.

Terdahulu, Fuad yang berasal dari Singapura menikahi Tom dalam sebuah majlis ringkas yang berlangsung di Batam, Indonesia pada tanggal 26 Februari lalu.

Tom atau nama lengkapnya Raja Farah Afzal Raja Ikram menerima mas kahwin sebentuk cincin daripada Fuad. Bagaimanapun harga mas kahwin tersebut dirahsiakan.

Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah yang dilantik dengan disaksikan oleh dua orang abang kepada Fuad iaitu Rozlan Abdul Rahman dan Rasli Abdul Rahman serta berwalikan adik lelaki Tom, Raja Ahmad Faris Afiq.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN