SHAH ALAM: Selepas lapan minggu berjuang, usaha keras pasangan adik-beradik, Zaki Yamani dan Yamani Abdillah membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara Famili Duo musim kedua, malam tadi.
Zaki dan Yamani membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000 pada kemuncak pertandingan yang dipancarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini.
Membawakan lagu Potret nyanyian asal Akim & The Majistret) dan Pelukan Angkasa (S.O.G) serta medley Hutang (Floor 88); Bunga dan Kau Pun Sama (Syamel), duo tersebut berjaya memukau juri dan penonton, sekali gus mengetepikan persaingan tiga pasangan lain untuk muncul juara.
Sementara itu, naib juara pula menjadi milik duo adik-beradik, Ayda dan Fyna Jebat yang membawa pulang wang tunai RM20,000. Mereka mempertaruhkan lagu Pada Syurga Di Wajahmu nyanyian asal Datuk Nash.
Persembahan kedua mereka menerusi medley lagu Let’s Get Loud/Gangnam Style dibawakan dengan cemerlang serta mendapat standing ovation daripada dua juri tetap iaitu Ajai dan Mas Idayu.
Menerusi persembahan berkonsepkan kekeluargaan itu, duo tersebut turut membawa kesemua kru dan tenaga di balik tabir yang bertungkus lumus membantu mereka sepanjang pertandingan.
Sementara itu, Wani Kayrie dan Bella Astillah yang membawakan lagu Gila nyanyian asal Kaka Azraff, Loca B dan Noki sebagai pertaruhan pada pusingan pertama dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga, menyaksikan mereka membawa pulang wang tunai RM10,000.
Persembahan kedua yang berkonsepkan bebas pula menyaksikan pasangan sepupu itu membawakan lagu Frozen: Let It Go (Idina Menzel).
Tempat keempat dimenangi duo Sissy Imann dan Naim Daniel yang membawa pulang wang tunai RM10,000. Mereka mempertaruhkan lagu Sumpah dan Kau Yang Punya.
Selain tiga pasangan ini, Famili Duo musim kedua turut disertai Ara Johari & Shaffiq Erwin; Sabhi Saddi & FareedPF K-Clique dan Siti Sairah & Siti Saida, menampilkan Janna Nick dan Sean Lee sebagai pengacara.