Nak nampak ‘wow, mesti kena jaga imej - Khai Bahar - Utusan Malaysia

Nak nampak ‘wow, mesti kena jaga imej – Khai Bahar

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Khai Bahar, 29, mengakui kini lebih menitikberatkan aspek penjagaan diri supaya tampil menarik dan berkeyakinan di mata peminat.

Kata penyanyi dengan nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin ini, dia kini kembali mengamalkan rutin senaman di gimnasium, selain mengamalkan diet pemakanan yang sihat.

“Tidak ada niat lain, tetapi jika ada yang tegur saya nampak lebih segak, saya berterima kasih. Sebenarnya, tujuan saya kembali aktif di gimnasium untuk bersenam disebabkan mahu menjaga stamina.

“Maklum, untuk menyanyi perlu ada stamina. Selepas terkena jangkitan Covid-19, saya dapat rasakan pernafasan seperti terganggu ketika menyanyi. Saya sangat tidak selesa.

“Saya memang kena bersenam semula. Penting untuk saya memastikan pernafasan pada tahap terbaik kerana tentu peminat tidak mahu melihat saya gagal membawakan sesebuah lagu dengan baik,” katanya.

Khai yang baru muncul dengan single duet bersama Nabila Razali, Selagi Ku Ada berkata, sebagai penghibur, dia perlu tampil menarik bersesuian dengan kematangannya dalam industri muzik.

“Bila buat persembahan, peminat akan nampak kita ‘wow’. Jadi, tidak salah kalau saya cuba perbaiki sikit imej diri.

“Mahu atau tidak, saya perlu rajin dan komited dengan saranan jurulatih peribadi. Alhamdulillah, saya sudah mula buka mata terhadap pentingnya menjaga penampilan,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN