Artis tak layak bersama orang berilmu? Jangan kata begitu - Nana Mahazan - Utusan Malaysia

Artis tak layak bersama orang berilmu? Jangan kata begitu – Nana Mahazan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara, Nana Mahazan, 40, mengakui pernah tersinggung dengan tanggapan sesetengah pihak terhadap golongan selebriti, terutama apabila mereka cuba mendekatkan diri untuk menambah ilmu agama.

Jelas Nana atau nama sebenarnya, Nurul Hana Che Mahazan, pandangan sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana niat yang baik wajar dirai dan digalakkan.

“Apabila kita ini selebriti, ada saja tanggapan skeptikal daripada masyarakat. Dulu saya tidak pakai tudung, mereka anggap saya tidak tahu solat dan agama.

“Terus-terang, ia buat saya tersinggung. Apabila saya tampil berhijab, timbul pula pandangan, sudah kembali ke pangkal jalan dan ada pegangan hidup. Tanggapan mereka buat saya terfikir, apakah saya terlalu teruk?

“Ada waktunya, saya rasa tersisih apabila orang macam tidak sudi ajak ke majlis berilmu. Apakah artis macam saya tidak layak berada dalam kelompok orang berilmu dan beriman? Jangan begitu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Nana, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak dan menganggap kemungkinan golongan seperti itu tidak tahu perjalanan seseorang individu.

“Tidak dinafikan, memang itu persepsi saya selalu dapat dulu. Tetapi, saya tidak salahkan mereka. Bagi saya, kalau nak buat kebaikan tidak perlu pengesahan daripada orang lain.

“Kalau nak buat kebaikan, tidak perlu dilihat orang. Saya tukar cara berfikir dan apabila saya ubah imej dan perbaiki diri, perlahan-lahan banyak benda baik yang datang.

“Contohnya, siapa sangka saya dipilih Muslim Volunteer Malaysia (MVM) sebagai ikon. Saya dapat berbakti lebih meluas menerusi platform ini untuk membantu lebih ramai yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, kata Nana, dia juga percaya jika seseorang individu memahami erti bersyukur, rezeki juga akan datang seiring.

“Adakah syukur sekadar di mulut sahaja? Tidak, kita kena zahirkan menerusi perbuatan. Saya selalu tanamkan dalam diri untuk bersyukur dengan segala yang dikurniakan oleh Allah SWT.

“Bila saya mula buat begitu, saya perasan Allah kurniakan lagi rezeki yang tidak putus-putus. Ia membuatkan saya mahu jadi insan yang lebih baik, tidak kufur nikmat dan lupakan Dia.

“Kemanisan bersyukur ini tidak tahu bagaimana untuk diungkapkan. Alhamdulillah atas segala-galanya,”
katanya.

Sementara itu, pada 12 Januari lalu, Nana berangkat ke Jordan bersama MVM bagi meneruskan misi sulungnya menyalurkan bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya