KUALA LUMPUR: Di sebalik perwatakannya yang sering kelihatan tegas dan garang, ramai tidak tahu penyanyi dangdut yang juga juri bermulut ‘bisa’, Mas Idayu merupakan seorang yang manja.
Sifat itu kata Mas Idayu, 50, sudah sebati dengan dirinya sejak kecil, namun selepas mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Sufian Che Isa,51, ramai mula menghidu sisi berbeza dirinya.
“Ramai terkejut bila tengok saya agak ‘gedik-gedik’ sekarang. Tetapi, memang saya begini kalau dengan abah dan adik-beradik lelaki.
“Bila Sufian masuk dalam keluarga saya, baru dia tahu perwatakan sebenar saya. Memang dari dulu saya manja dan apabila ada pasangan, keluarlah perangai sebenar saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media program Family Duo musim kedua di ibu kota, baru-baru ini.
Penyanyi lagu Cintaku 100% itu berkata, dalam kalangan adik-beradiknya, dia memang manja walaupun memiliki sifat garang.
“Saya ini anak abah. Adik-beradik semua tahu, saya paling garang, tetapi saya juga paling manja. Kalau saya ada, anak buah takut nak buat perangai.
“Kalau tahu saya nak datang, cepat-cepat mereka kemas rumah, takut saya marah. Tetapi, apabila sudah ada pasangan, sifat manja saya semakin terserlah.
“Iyalah, dulu nak manja dengan siapa kalau tiada pasangan? Jangan tak tahu, daddy (nama panggilan suami) manja juga orangnya, walaupun ketika bekerja nampak tegas dan garang,” katanya.
Dalam pada itu, Mas Idayu turut berkongsi, sejak tiga bulan mendirikan rumah tangga, dia hanya sempat berjumpa suaminya tiga hari seminggu kerana kekangan tugas.
Faktor itu disebabkan, dia saban minggu perlu berulang-alik ke Kuching, Sarawak kerana terbabit dengan program Getaran Jiwa.
“Sejak bercinta sehingga hendak berkahwin, saya dan suami jarang berjumpa kerana jadual kerja yang terlalu sibuk.
“Kami jarang dapat menghabiskan masa bersama lebih daripada tiga hari. Kadang kala, kami hanya sempat berjumpa sekejap seperti makan tengah hari bersama.
“Itu sudah cukup bagi kami asalkan dapat meluangkan waktu berkualiti bersama-sama,” katanya.
Bagaimanapun, Mas Idayu berharap Ramadan nanti mereka dapat meluangkan lebih banyak masa bersama.
Mas Idayu mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Muhammad Suffian pada Hari Malaysia, 16 September lalu.
Sebelum ini, penyanyi asal Johor itu bertemu jodoh dengan pelakon, Aman Graseka pada 1997, tetapi bercerai pada 2006.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa yang berusia 25 tahun.