Konsert AADM: Melly Goeslaw hargai pemuzik Malaysia - Utusan Malaysia

Konsert AADM: Melly Goeslaw hargai pemuzik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkemuka dari Indonesia, Melly Goeslaw bakal mendapatkan khidmat pemuzik tempatan untuk konsert pertamanya di negara ini.

Menurut Melly, ia menjadi antara hasrat utamanya sempena konsert Ada Apa Dengan Melly? (AADM) yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 3 Februari depan.

“Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai pemuzik genius seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Saya sering terinspirasi dengan karyanya, malah saya percaya pemuzik di sini juga genius dalam berkarya.

“Justeru, saya ingin memberi penghargaan kepada pemuzik di sini dengan menyatukan denyut muzik kedua-dua negara menerusi konsert tersebut.

“Mungkin konsert itu juga akan membabitkan penyanyi Malaysia, cuma masih belum dapat diumumkan siapa,” kata Melly ketika ditemui pada sidang media Konsert Ada Apa Dengan Melly?, di sini, semalam.

Sementara itu, berkongsi lanjut tentang konsert tersebut, Melly berkata, ia merupakan persembahan pertamanya untuk 2023 yang turut menyaksikan kembara perjalanan seninya selama 30 tahun ini.

Melly dan suaminya, Anto Hoed juga berharap peminat yang hadir dapat menggayakan pakaian seragam sekolah bersesuaian konsep konsert tersebut.

“Dalam kehidupan ini, paling cantik adalah memori dan acara paling menarik ialah reunion. Disebabkan itu, saya ingin mengembalikan nostalgia zaman remaja.

“Bagi saya, konsep itu sangat menarik kerana karya popular saya yang melekat di hati peminat menerusi lagu runut bunyi dua filem legenda iaitu Ada Apa Dengan Cinta (AADC) dan Eifel I’m In Love.

“Apabila menyarung pakaian seragam, kita semua setara dan tiada beza,” katanya.

Tiket dijual bermula pada harga RM288 sehingga RM1588 boleh ditempah dengan melayari di www.ticket2u.com.my.

Melly memulakan kerjaya solo pada 1999 dan namanya dijulang sebagai antara komposer rebutan ramai sekitar awal 2000 sehingga kini.

Penyanyi itu juga terkenal bersama band Potret yang ditubuhkan bersama suaminya.

Lagu Potret, Bagaikan Langit pernah tular di TikTok, dua tahun lalu sekali gus kembali mempopularkan Melly dalam kalangan pendengar muzik generasi muda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya