Karya gred A berentap di SFMM37 - Utusan Malaysia

Karya gred A berentap di SFMM37

BARISAN penyanyi dan pengkarya yang bakal membawa cabaran pada persaingan Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-37.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPELBAGAIAN genre lagu yang layak mara ke pentas Semi Final Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37) membuktikan industri muzik kembali bernafas dan berkembang, selepas hampir dua tahun bergelut susulan pandemik Covid-19.

Penerbit Eksekutif SFMM37, Jamil Hassan, pada sidang media baru-baru ini berkata, perkara itu jelas dilihat berdasarkan peningkatan jumlah lagu yang dihantar untuk dipertandingkan, berbanding tahun sebelumnya.

“Kepelbagaian genre lagu yang dipertandingkan tahun ini menunjukkan perkembangan positif industri muzik, terutama selepas pandemik. Ia memperlihatkan pengkarya tempatan kembali aktif selepas dua tahun industri berehat akibat Covid-19,” ujarnya.

Jamil berkata, SFMM37 secara umum mencerminkan situasi industri muzik semasa dengan dibarisi penyanyi, komposer dan penulis lirik yang terus aktif berkarya, meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Matlamat kita adalah mencari karya yang berkualiti. Apa yang kita peroleh dalam senarai 30 lagu ini, semuanya boleh dikategorikan gred A,” katanya.

SFMM37 akan bersiaran secara langsung menerusi TV3 selama dua hari iaitu pada 25 dan 26 November ini ,pukul 3 petang. Program itu menampilkan Muaz Mohamed dan Izzue Islam sebagai pengacara.

PERTEMBUNGAN BEKAS JUARA AJL

SFMM37 menyaksikan pertembungan penyanyi yang pernah merangkul gelaran juara pada acara tahunan berprestij itu.

Mereka adalah juara AJL 29, Joe Flizzow yang mempertaruhkan lagu Satu Malam Di Temasek bersama SonaOne.

Turut layak pemenang AJL 32 dan 33 iaitu Hael Husaini serta juara AJL 34, Naim Danel.

Hael menyandarkan harapan pada lagu Sama Seperti Dulu, manakala Naim mempertaruhkan dua lagu iaitu Mainan dan Habis Sini, kolaborasinya bersama Joe.

SFMM37 juga menyaksikan persaingan sengit barisan penyanyi yang pernah menyandang trofi Vokal Terbaik.

Mereka terdiri daripada Liza Hanim, Jaclyn Victor, Hafiz Suip, Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Aina Abdul.

KORBAN REALISASI IMPIAN ERNIE

Kembali mara dengan mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri, Ernie bersyukur apabila Korban diberi peluang untuk dinilai dari sudut profesional pada acara tersebut.

Namun, Ernie tidak meletak harapan terlalu tinggi, sebaliknya hanya akan melakukan yang terbaik pada persembahannya nanti.

“Sebagai komposer dan penulis lirik, saya mahu karya saya dinilai dari sudut lirik dan melodinya, Justeru, saya sangat gembira apabila Korban membolosi SFMM37.

“Ia merealisasikan matlamat yang ingin saya capai. Tipu kalau saya tidak meletakkan harapan, tetapi saya tidak mahu terlalu berharap. Saya hanya ingin bersaing secara sihat kerana apa sahaja boleh berlaku pada pentas separuh akhir nanti,” ujarnya.

Disoal tentang ketiadaannya membawakan lagu Berakhirlah Pencarianku ciptaan Ikhwan Fattana dan Wan Salleh serta lirik oleh Datuk A. Aida, Ernie memaklumkan, keputusan tersebut adalah di luar bidang kuasanya.

“Keputusan bukan di tangan saya, sebaliknya pihak label iaitu Rocketfuel, Nova Music dan pencipta serta penulis lirik lagu tersebut.

“Sebagai penyanyi asal, janggal juga apabila lagu yang saya nyanyikan akan dipersembahkan penyanyi lain. “Bagaimanapun, itu peluang bermakna buat Wani Kayrie
dan Ahmad Syafiq untuk menyerlah. Tiada rezeki saya untuk mempersembahkan lagu itu di pentas SFMM37,” tambahnya.

GEMENTAR TETAP ADA – AMIR MASDI

Dalam teruja disulami gementar, Amir Masdi mengakui, turut menyimpan hasrat untuk beraksi di pentas AJL37.

“Saya macam tidak percaya apabila dua lagu saya layak bersaing di pentas SFMM37. Kedua-dua lagu itu ada kekuatan tersendiri.

“Kekuatan Esok pada liriknya, manakala Debu lebih kepada susunan muzik dan kelebihan vokal. Saya bertuah dapat bergandingan dengan Dayanhg Nurfaizah dalam lagu itu. Ia penghormatan besar untuk saya yang masih belum banyak pengalaman.

“Saya berharap dua lagu tersebut berpeluang mara ke AJL37. Namun, saya tidak meletakkan impian terlalu tinggi kerana enggan kecewa jika tidak terpilih nanti,” katanya.

Disoal tentang persaingan, Amir memaklumkan, kesemua calon yang bertanding memiliki kekuatan masing-masing. Dia menyifatkan perkara itu sebagai persaingan sihat kerana setiap peserta mempunyai potensi untuk menyerlah.

AINA ABDUL BERDEPAN LALUAN SUKAR

Pemenang Vokal Terbaik AJL36, Aina Abdul, akur berdepan laluan sukar apabila persaingan kali ini menampilkan ramai barisan penyanyi handalan seperti Liza Hanim, Ernie, Marsha Milan Londoh, Shila Amzah dan ramai lagi.

Mempertaruhkan lagu Terus Hidup, Aina menyifatkan, cabaran kali ini lebih sengit, namun berharap dapat memberikan terbaik pada hari persaingan nanti.

“Tahun ini, saingannya lebih sengit dan memerlukan saya bekerja keras. Saya gembira kerana sekali lagi dapat meraikan SFMM37 untuk peminat.

“Terus Hidup adalah karya yang paling saya sayang kerana lagu ini memberi saya jiwa.Saya kena berikan yang terbaik agar lagu ini dapat bersaing di pentas AJL37 nanti.

“Tipulah kalau saya kata tidak tertekan bersaing dengan barisan penyanyi yang sangat saya hormati. Saya cuma berharap dapat memberikan persembahan terbaik dengan tenang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×