Hapus AP: Mahu bahan asas tanpa dimonopoli kartel - Utusan Malaysia

Hapus AP: Mahu bahan asas tanpa dimonopoli kartel

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) beramah mesra bersama perwakilan yang hadir Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tujuan Kerajaan menghapuskan lesen import (AP) bahan makanan bagi membolehkan semua pihak dapat mengimport bahan asas makanan ke negara ini tanpa dimonopoli kartel yang akhirnya memanipulasi harga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan berkuat kuasa serta-merta itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi.

“MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) akan umumkan butiran lanjut berhubung keputusan ini.

“Saya berharap Nafas mengambil kesempatan ini untuk mengimport ayam daripada luar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Ke-46 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada hari ini, Ismail Sabri mengumumkan keperluan terhadap bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah drastik menjamin keselamatan dan bekalan makanan di negara ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mahu Nafas menguasai seluruh rantaian industri ayam ekoran pertubuhan mempunyai ahli mencukupi untuk memasarkan bekalan makanan tersebut.

Beliau berkata, Nafas boleh memohon subsidi ayam daripada Kementerian Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Beliau berkata, seluruh rantai nilai perlu dikuasai oleh pertubuhan tersebut sekali gus menamatkan sebarang ugutan golongan tertentu kepada pihak kerajaan.

“Kalau Nafas merupakan pengeluar ayam, Nafas boleh mohon subsidi. Kita harap Nafas memohon,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan bahawa Kerajaan melalui MAFI telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.47 juta daripada Tabung Bencana Pertanian untuk membantu 29 Pertubuhan Peladang dan 483 peladang yang terjejas akibat bencana alam pada tahun ini.

“Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) ini akan disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di tujuh negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN