Konsert rai ulang tahun ke-25 Padi Reborn - Utusan Malaysia

Konsert rai ulang tahun ke-25 Padi Reborn

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sempena sambutan ulang tahun ke-25, kumpulan popular dari Indonesia, Padi Reborn akan mengadakan sebuah konsert istimewa di Zepp Kuala Lumpur pada 3 Disember depan.

Menurut pengasas dan pemain gitar Padi Reborn, Piyu, kesemua anggota band begitu teruja untuk menjayakan konsert itu, terutama setelah sekian lama tidak bertemu peminat, Sobatpadi dan penggemar muzik di negara ini.

“Ini adalah kesempatan yang mengujakan buat kami kerana aakan meraikan perjalanan dan ulang tahun jubli perak ke-25 di Malaysia.

“Terima kasih kerana masih mahu berjalan harmoni dengan Padi Reborn,” katanya.

Selain Piyu, Padi Reborn turut dibarisi vokalis, Fadly, Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram).

Konsert itu dibawakan oleh Qew Communications Sdn Bhd atau Qew Comm, yang sebelum ini membawa kumpulan terbabit bertandang dan menyapa Sobatpadi, beberapa tahun lalu.

Menurut Pengarah Qew Comm, Datin Rahizahwati Yahya, pihaknya bersyukur kerana impian yang tertunda, termasuk keinginan membawa Padi Reborn kembali ke Kuala Lumpur akhirnya menjadi kenyataan.

“Kami percaya kembalinya Padi Reborn sempena ulang tahun ke-25 akan memberi justifikasi mengenai band yang mempunyai pengaruh dan peminat sebagai penghibur yang tidak mati ditelan zaman,” katanya.

Selepas hilang dari industri hiburan selama tujuh tahun, Padi kembali dengan semangat baru menerusi Padi Reborn.

Sebelum menggunakan nama Padi Reborn, lima pemuzik ini memulakan langkah awal dalam dunia hiburan dengan dikenali sebagai Padi pada 1997.

Album Lain Dunia dipasarkan setahun kemudian meledak, meraih lebih 800 ribu unit jualan dan menyemarakkan nama Padi sebagai antara kumpulan terbaik di Indonesia.

Dua tahun selepas kelahiran album Lain Dunia, mereka kembali dengan Sesuatu Yang Tertunda pada 2001 dan terjual sebanyak 1.6 juta unit serta meraih 10 kali platinum pada 2002.

Pada 2003, Padi melancarkan album Save My Soul, dilanjutkan dengan kelahiran album Padi pada 2005 dan Tak Hanya Diam (2007).

Selepas berehat panjang dan bersatu kembali pada 2017, Padi Reborn mengeluarkan album Indera Keenam pada 2019 serta karya yang belum pernah dilakukan sebelumnya.

Melancarkan single, album baharu, video klip dan kolaborasi filem pendek, Padi Reborn juga menjadi hos untuk program televisyen swasta.

Tiket pada harga RM199 (CAT 1), RM169 (CAT 2), RM339 (CAT 3), RM269 (CAT 4) dan RM6,000 (VIP) akan mula dijual mulai jam 11 pagi esok di https://www.ticket2u.com.my

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya