Hal-hal pahit dalam lapangan yang sedang ‘sihat’ - Utusan Malaysia

Hal-hal pahit dalam lapangan yang sedang ‘sihat’

DALAM lapangan yang dikatakan sedang sihat, ada bahaya yang sedang datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPANGAN sedang sihat dan meriah, kata orang. Mungkin betul tapi bagaimana kita menilai kesihatan lapangan muzik? Banyak acara? Banyak rilisan?

Yang saya pasti, acara muzik sedang jadi komoditi dagangan yang menggiurkan. Setiap hari kita jumpa hebahan tentang acara muzik, dari sekecil-kecil gig hingga festival besar-besaran.

Nampak macam seronok untuk kugiran, artis dan penganjur tapi saya mahu tawarkan perspektif yang sedikit berbeza. Saya mahu jadi bitter dalam artikel ini dengan menganjurkan hal-hal negatif yang terlindung di bawah karpet positif.

Ada yang terpuruk

Dalam tempoh dua tahun ini, ada dinamik yang ekstrem dalam perkembangan lapangan muzik tempatan. Ketika pandemik mula melanda, ramai yang tertekan. Acara fizikal tidak dapat dilaksanakan dan kita semua terkurung, termasuk para pemuzik yang terpisah daripada rakan kugiran mereka.

Namun, kreativiti terus mengalir. Kugiran cari jalan untuk terus berkarya. Tekanan pandemik diproses menjadi produk muzik. Acara fizikal diubah menjadi maya. Pelbagai acara dijalankan dengan memanfaatkan teknologi yang makin maju.

Kini, ketika acara fizikal kembali dibenarkan dan berpusu-pusu dianjurkan, berapa ramai antara kugiran dan penganjur yang kreatif waktu pandemik dulu gembira?

Adakah penganjur-penganjur yang membantu mengisi masa sepi kita dahulu dapat jual tiket dengan baik sekarang? Tanya kugiran yang aktif waktu pandemik, yang mengeluarkan album penuh ketika kita semua terkurung di rumah. Berapa bayaran yang mereka dapat daripada penganjur ketika ini?

Ombak Selat Melaka

Pandemik sepatutnya waktu kita mengumpul sokongan kepada bakat tempatan, lalu dicurahkan selepas pandemik tamat. Sayang­nya, ada curahan lain yang tiba.

Kemasukan artis-artis luar bagai tsunami. Selepas satu, satu pengumuman persembahan artis luar tiba. Mereka pula punya peminat yang ramai. Status sebagai artis antarabangsa buat peminat sanggup belanja beratus-ratus untuk tonton mereka.

Jangan salah faham, saya tak cakap ini semua salah. Cuma saya mahu tekankan, kemasukan artis luar yang sangat kerap ini melukakan bakat tempatan. Kalau sayang lapangan muzik tempatan, kita patut risau.

Saya melalui bulan ini dengan cerita kerugian sendiri dan rakan-rakan. Selepas gig anjuran Rondivu rugi, datang pula cerita gig anjuran kawan lain yang juga rugi. Dan kami sepakat untuk tidak menganjurkan gig lagi. Persekitaran sedang tidak sihat, sekurang-kurangnya bagi kami.

Meritokrasi

Ada yang berhujah, kita tidak boleh marahkan artis luar yang masuk, sebaliknya bakat tempatan sendiri perlu bersaing dengan mereka. Kalau artis luar bikin lagu sedap dan kumpul peminat, artis tempatan patut buat lagu lebih sedap dan kumpul lebih ramai peminat.

Sayangnya, realiti tidak begitu. Lagu sedap semata-mata tidak cukup untuk kumpul peminat.

Saya hidu hujah meritokrasi dalam pertembungan pendapat ini. Meritokrasi memang hujah mudah dalam soal persaingan tetapi ramai yang tak perasan kepincangan meritokrasi.

Meritokrasi seperti sebuah perlumbaan. Ia meletakkan garis penamat yang sama untuk semua peserta. Siapa sampai dulu, dia menang. Nampak adil.

Tapi, meritokrasi tidak peduli pada garis mula dan persekitaran perlumbaan. Ada yang mula di hadapan, ada yang agak terkebelakang. Ada yang berlari dengan kasut, ada berkaki ayam. Ada trek yang rata, ada trek yang berbonggol dan berbatu.

Meminta artis tempatan bersaing dengan artis luar secara semberono itu tidak adil. Kelebihan utama artis luar, terutamanya dari Indonesia ialah lapangan tempatan mereka yang subur.

Di Indonesia, ada banyak festival muzik yang dianjurkan dengan barisan tempatan sepenuhnya. Di sana, tiada pemisah indie-mainstream. Indonesia ada sokongan tempatan yang subur, membuatkan artis-artis mereka boleh mengumpul sokongan besar dalam negara sebelum mengeksport karya mereka ke luar negara.

Di Malaysia, festival yang membariskan bakat tempatan sepenuhnya boleh dikira dengan jari yang cacat. Budaya muzik masih ada perbezaan yang ketara antara independen dengan arus perdana.

Kita masih bayi

Dalam ekonomi, ada istilah industri muda (infant industry). Industri sebegini perlukan perlindungan daripada kerajaan sehingga ia matang dan boleh mula bersaing dengan industri lain.

Begitulah lapangan muzik tempatan. Pada tahap ini, ia masih perlukan perlindungan supaya pertumbuhannya sihat, baru kita boleh berhujah mahu bakat tempatan bersaing dengan artis-artis luar dari negara yang lapangan muziknya sudah lama matang.

Ada banyak hal perlu dibereskan dalam negara ini sebelum lapangan muzik kita matang. Layanan kerajaan, penghargaan peminat, kematangan pengkarya; semua ini perlu diselesaikan sebelum lapangan kita matang untuk bersaing secara merit.

Artikel ini merendahkan muzik tempatan? Betul kerana ia realiti. Kalau masalah ini tidak diakui, kita takkan jumpa jalan nak bangunkan muzik tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN