fbpx

Boleh saja pengasas produk jadi penyanyi – Hafiz Hamidun

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hafiz Hamidun, 38, menyambut baik tindakan mana-mana usahawan yang membantu merancakkan ekonomi industri muzik tanah air dengan memberi peluang pekerjaan kepada penggiat industri.

Empunya nama sebenar, Mohammad Hafiz Hamidun berkata, tindakan usahawan berkenaan perlu diteladani agar industri seni tempatan dapat berkembang.

“Sebagai komposer, saya menyambut baik usahawan seperti pengasas fesyen Muslimah tempatan, Munawwareen, Aliza Abu Bakar yang menawarkan peluang kerjasama dengan penyanyi dan komposer profesional untuk projek perniagaan mereka.

“Sebagai usahawan, mereka tahu kekuatan dalam perniagaan dan ambil maklum keperluan untuk memanfaatkan kepakaran penggiat seni dengan menggunakan komposer dan penyanyi profesional bagi mengembangkan perniagaan.

“Sebagai pekerja industri seni, saya memandang tinggi keputusan yang mereka ambil dan berharap budaya seperti ini dapat diamalkan dan dikekalkan pada masa akan datang,” katanya.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen koleksi Sempurnakan Hijrah Cinta keluaran Munawwareen, semalam.

Turut hadir adalah pelakon Rozita Che Wan, pengacara, Hawa Rizwana, Maria Tunku Sabri dan ramai lagi.

Hafiz berkata, dia turut mengalu-alukan mana-mana pengasas yang ingin menjadi penyanyi dalam projek kreatif untuk perniagaan mereka.

Kata Hafiz, perkara tersebut bukan kesalahan, malah merupakan pilihan individu.

“Saya tidak kritik mereka yang nak jadi penyanyi, malah saya juga bekerjasama dengan pengasas perniagaan seperti ini.

“Bagi saya, mereka cuma mahu mengikut trend semasa apabila pengasas turut menjadi penyanyi.

“Cuma, saya sangat memandang tinggi pengasas yang menggunakan khidmat pakar dengan mencari penyanyi terbaik dan komposer yang bagus untuk merealisasikan keinginan mereka,” tambahnya

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN