Rapat tapi saya tak ambil tahu hal peribadi Noh - Epain - Utusan Malaysia

Rapat tapi saya tak ambil tahu hal peribadi Noh – Epain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengurus kumpulan Hujan, Epain Ahmad, memaklumkan dia tidak pernah mencampuri urusan peribadi Noh Salleh meskipun umum mengetahui mereka rapat sebagai sahabat.

Kata Epain, sebagaimana pendirian anggota Hujan dan Raingers (gelaran buat peminat Hujan), dia sebolehnya menghormati keputusan dan privasi Noh serta Mizz Nina.

“Kalau ditanya, terus-terang, saya dengan Noh tak ada kongsi pasal hal peribadi. Saya pun jenis orang yang tak suka ambil tahu hal peribadi orang lain.

“Ya, kami berdua memang berkawan rapat, tetapi kalau nak cakap pasal kerja, bisnes, itu okey.

“Kami berkawan tahu limitasi. Saya harap semua boleh hormati privasi Noh dan Nina dalam waktu begini. Saya pun tak nak kacau dia.

“Biarkan dia urus hal peribadinya sendiri sebab saya percaya, dia cukup matang untuk kendalikan perkara itu. Yang penting, saya dan band sentiasa bersama dia,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Mewakili band dan keluarga besar Hujan, Epain juga berharap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat Noh dan Nina.

“Saya yakin, keluarga besar Hujan akan sentiasa menyokong dan mendoakan yang terbaik buat mereka berdua. Kita sudah selalu ada bersama mereka, sama ada dalam keadaan susah dan senang selama ini.

“Jadi, kita doakan yang baik-baik untuk kesejahteraan, kebahagiaan dan kesenangan mereka. Saya juga berterima kasih kepada Raingers yang sehingga kini cuba menceriakan mereka. Tetapi, apa yang diharapkan adalah doa kerana ia adalah sumber kekuatan,” katanya.

Ditanya mengenai kewujudan spekulasi tertentu yang cuba mengaitkan isu perceraian Noh dan Nina, Epain menganggap mustahil untuk menutup mulut semua orang.

“Kita tak boleh nak halang orang untuk bercakap. Itu atas hak individu masing-masing.Terserah. Apa sahaja orang nak spekulasi, itu atas individu itu.

“Bagi saya, siapa kita nak suruh orang untuk berhenti bercakap? Antara fitnah atau tidak, itu kerja Tuhan. Saya lebih suka pandang ke arah positif. Lebih baik kita bergerak dan pandang ke depan,”katanya.

Semalam, Noh dan Nina mengumumkan perceraian melalui Instagram, sekali gus menamatkan segala teka-teki berhubung isu pergolakan rumah tangga mereka.

Menurut Noh dan Nina dalam kenyataan yang sama, mereka memilih jalan untuk berpisah secara baik setelah 12 tahun hidup bersama sebagai suami isteri.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011.

Sekitar April lalu, pasangan itu memperkenalkan Musa sebagai anak angkat bagi menyerikan rumah tangga mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya