Ippo Hafiz elak tegur terbuka - Utusan Malaysia

Ippo Hafiz elak tegur terbuka

IPPO HAFIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN segelintir pihak menggunakan gimik murahan di media sosial sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat dan agama semata-mata untuk meraih perhatian umum menggusarkan penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz.

Ippo, 32, mengakui terkesan dengan segelintir individu yang menjadikan industri hiburan sebagai batu loncatan untuk mencipta populariti, sedangkan anak seni juga menggalas tanggungjawab dan peranan dalam mendidik masyarakat.

Namun, penyanyi Seadanya Aku itu mempunyai pendekatan tersendiri apabila menegur. Dia memilih untuk melakukannya secara berdepan dan bukan meluahkannya di media sosial kerana beranggapan, dirinya belum layak berbuat demikian.

“Saya lebih selesa melakukannya secara santai dengan bersemuka, bukan paksaan. Penerimaan setiap orang tidak sama, malah tidak semua suka jika teguran dilakukan secara kasar dan keras.

“Sekiranya berpeluang, lebih baik bersemuka dan berdepan. Itu lebih elok dan tidak mengaibkan, berbanding membuat teguran secara terbuka di media sosial. Mungkin pada kita tidak apa-apa, tetapi cara kita itu barangkali membuatkan orang lain terasa hati,” katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berharap, pendekatan yang diambilnya itu tidak disalah ertikan, malah dia menghormati dan meraikan cara seseorang dalam menyeru ke arah kebaikan.

“Setiap orang ada cara tersendiri dalam memberikan teguran. Terpulang kaedah mana yang memberikan mereka keselesaan. Begitu juga ilmuan agama, mereka mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyampaikan dakwah.

“Mereka lebih arif pendekatan bagaimana perlu diguna pakai dalam sesuatu situasi. Apa yang penting, tanggungjawab kita untuk menegur terlaksana dan berlandaskan prinsip Islam,” katanya.

Jaga makan, amalkan sunnah

Pernah diserang penyakit Bell Palsy setahun lalu membuatkan Ippo lebih peka menjaga kesihatan dan pemakanannya.

Kongsi penulis lagu Aku Bidadari Syurgamu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza ini, meskipun episod hitam itu telah berlalu, dia tetap khuatir sekiranya penyakit itu menjengah semula.

“Selepas mengalaminya, percakapan saya sedikit terganggu. Doktor memaklumkan, penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, baik yang muda atau berusia. Aktif bersukan atau tidak, mereka juga tidak terlepas daripada serangan penyakit ini.

“Saya kini sangat menitikberatkan pemakanan. Saya kurangkan pengambilan makanan tidak sihat dan amalkan pemakanan sunnah. Apa yang penting, jaga kesihatan,” ujarnya.

Lagu untuk Siti

Lagu Aku Bidadari Syurgamu mencipta fenomena luar biasa, sekali gus mengangkat nama Ippo selaku penciptanya.

Dia mengakui, sedikit tercabar dalam menghasilkan lagu lain untuk dihadiahkan kepada penyanyi nombor satu itu selepas sentuhannya itu mencatat kejayaan tersendiri.

“Memang agak mencabar. Lebih-lebih lagi apabila lagu tersebut mencipta fenomena. Saya rancang memberikan satu lagi lagu untuk dinyanyikan Siti.

“Dia dalam perancangan untuk menghasilkan album terbaru dan sedang membuat pemilihan lagu. Mohon doakan semoga lagu saya juga terpilih nanti,” katanya.

Sebelum ini, banyak lagu yang dihasilkan komposer berbakat besar ini terpaksa ‘diperam’ kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ippo bagaimanapun, bersyukur kerana lagu tersebut dapat dikeluarkan pada tahun ini.

“Banyak lagu saya dinyanyikan juga artis lain seperti Zara Zya dan Janna Nick. Semua itu adalah lagu yang telah lama saya siapkan, namun tidak dapat dikeluarkan kerana PKP,” katanya.

Ippo juga meluahkan harapan agar dapat berkolaborasi dengan penyanyi Indonesia pada masa akan datang.

“Memang saya ada merancang untuk berkolaborasi dengan artis dari negara seberang. Namun, belum ada rezeki. Tolong doakan agar impian itu terlaksana nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN