Dah janji tunaikanlah, kenapa susahkan orang? - Aishah - Utusan Malaysia

Dah janji tunaikanlah, kenapa susahkan orang? – Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi bertaraf legenda, Datuk Aishah Ariffin, 57, mengakui, terpaksa melupakan hasrat untuk berehat lebih lama berikutan perlu memberi kerjasama di mahkamah berhubung kes tuntutan hadiah hasil kemenangannya pada program Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4).

Menurut Aishah, perkara itu sepatutnya sudah lama diselesaikan, namun terkilan dengan sikap penaja yang tidak mengambil serius tentang hadiah yang dijanjikan sejak dari awal.

“Hari ini dan beberapa hari akan datang sepatutnya saya boleh berehat seketika. Tetapi malangnya, bermula pagi esok (hari ini), saya terpaksa ke mahkamah untuk kes tuntutan hadiah tanah daripada program GV4.

“Kenapalah menyusahkan orang, masa dan kos? Kalau sudah berjanji untuk beri hadiah, tunaikanlah saja. Kalau tak, elok jangan mimpi nak jadi penaja,” katanya.

Aishah yang baru menjayakan konsert Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram, malam tadi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu ini juga terkilan kerana sudah terlalu lama menunggu sehingga terpaksa mengambil tindakan undang-undang sebagai jalan penyelesaian.

“Berapa tahun dah menunggu, tetapi hingga sampai naik ke mahkamah juga. Doakan yang terbaik. Saya hanya menuntut hak saya yang telah dijanjikan. Jangan buat begini kepada anak seni,” katanya.

Ketika menjuarai GV4 pada 2017, Aishah dijanjikan beberapa hadiah dan satu daripadanya adalah tanah lot banglo.

Namun begitu, dia mendakwa pihak penaja hadiah tersebut telah menukar hadiah itu kepada saiz tanah yang lebih kecil.

Keputusan untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah juga telah dibuat oleh Aishah setelah empat tahun menunggu; selain tiada jalan penyelesaian terbaik daripada pihak penaja program terbabit terdahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya