Pembikin filem wajar ikut kata hati, bukan ikut buku - Syamsul Yusof - Utusan Malaysia

Pembikin filem wajar ikut kata hati, bukan ikut buku – Syamsul Yusof

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Mencipta sejarah tersendiri menerusi filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof, menggesa semua pembikin filem agar tidak terlalu mengikut buku jika mahu lonjakan pembaharuan dapat dilakukan dalam industri perfileman tanah air.

Menurut Syamsul, ia terbukti apabila dia menggunakan formula citarasa sendiri terhadap penghasilan filem Mat Kilau yang sehingga ke hari ini mencatatkan filem nombor satu dalam carta box office sepanjang lima minggu berturut-turut.

“Sejarah dan rekod tercipta lagi. Filem ini nombor satu dalam carta box office, lima minggu berturut-turut. Ini tak pernah berlaku.

“Saya pun tak pandai. Tapi pada pandangan saya, setiap pembikin filem sepatutnya mengikut kata hati, bukannya ikut buku. Saya percaya, Allahyarham Tan Sri P Ramlee juga begitu dimana dia berkarya mengikut hati seninya. 

“Jadi, kita belajar apa yang mampu dari beliau. Al Fatihah,”katanya dalam satu hantaran di Instagram semalam.

Selain itu, Syamsul mengaku dia bukanlah seorang manusia dan anak seni yang sempurna jika melihat dari sudut ‘Peraturan dan garis panduan penghasilan filem’.

“Saya ini tak sempurna. Saya langgar semua peraturan itu hanya untuk memuaskan hati semua penonton di Malaysia ini. Bahkan, saya nak tanya, siapa yang buat peraturan-peraturan dalam sesebuah pembikinan filem ini?

“Maaf bertanya,siapa ya? Saya tak setuju. Seni itu indah dan amat subjektif pada semua,”katanya.

Perkongsian Syamsul itu kemudiannya mendapat reaksi yang positif daripada pengikut dan peminatnya dengan rata-ratanya mengucapkan kata tahniah buat pengarah muda ini.

Mula ditayangkan pada 23 Jun lepas termasuk di Singapura dan Brunei, filem Mat Kilau berjaya meraih kutipan berjumlah RM85 juta setakat ini.

Antara pelakon hebat yang membarisi filem ini adalah Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali dan pelakon dari seberang yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.