Silat, bertanjak, pakai keris, semua itu buat air mata saya mengalir - Syamsul Yusof - Utusan Malaysia

Silat, bertanjak, pakai keris, semua itu buat air mata saya mengalir – Syamsul Yusof

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengarah, Syamsul Yusof, terharu dengan semangat dan sambutan luar biasa yang diterimanya menerusi filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang harini telah mencatatkan kutipan melebihi RM12 juta dalam tempoh empat hari ditayangkan di pawagam.

Menganggap ia sebagai satu fenomena, Syamsul berkata, ini adalah hasrat yang sudah lama ingin dicapai iaitu untuk melihat kebangkitan filem Melayu ke persada yang lebih tinggi dan paling utama ia disokong oleh anak bangsa sendiri.

“Rasa rendah diri dan bersyukur dengan pencapaian luar biasa, boleh dikatakan ini dah jadi satu fenomena. Kawan saya pun beritahu, filem ini trending di Twitter dan platform media sosial lain. Memang luar biasa untuk kebangkitan filem tempatan anak Melayu.

“Saya sentiasa yakin dari dulu, sebagai pengarah dan pengkarya, saya yakin filem Malaysia boleh pergi jauh sekiranya pengkarya cuba benar-benar memahami kehendak majoriti penonton kita, Melayu khususnya.

“Itu yang saya terapkan juga pada filem-filem saya sebelum ini, seperti Munafik dan Munafik 2, KL Gangster.Saya pun dalam proses belajar tapi tak sangka juga untuk filem Mat Kilau sambutannya begitu luar biasa,”katanya.

Selain itu, kata Syamsul, dia juga tidak menyangka ramai kalangan penonton sanggup datang ke pawagam untuk menonton filem ini sambil menggayakan busana persis pahlawan Melayu zaman dahulu kala, baik lelaki mahupun wanita.

“Fenomena atau suasana seperti ini kita dapat lihat jika ada tayangan filem Star Wars misalnya. Tapi kali ini, filem Mat Kilau! Begitu ramai yang sangat bersemangat memakai busana Melayu, bertanjak, memakai keris, saya amat tersentuh.

“Masa bikin filem ini, saya berhempas pulas jiwa dan raga bersama pasukan di belakang tabir, saya tahu apa yang penonton harapkan pada filem ini. Memang mengalir air mata bila dengar ramai juga nak belajar silat selepas tonton filem ini.

“Ada yang bergambar depan poster pun sambil buka bunga silat. Memang itu objektif saya dan penerbit,nak semarakkan lagi jati diri anak Melayu yang mungkin telah pudar tanpa mereka sedari,”katanya.

Tambah Syamsul, menerusi filem ini, dia juga mahu penonton daripada semua peringkat usia dapat ‘bahagian’ masing-masing selain mampu berfikiran kritis.

“Apa yang saya paparkan di layar perak ini bukan berlaku pada zaman itu sahaja, tapi turut berlaku pada zaman sekarang. Kalau budak-budak dan remaja sekarang rasa silat ini satu warisan yang sangat berharga, memang itulah juga objektif saya.

“Kita harus berbangga dengan budaya dan warisan kemelayuan kita sendiri,”katanya.

Dalam pada itu, Syamsul juga berbangga dan terharu dengan info terbaru yang diterimanya apabila filem Mat Kilau ini telah mencatatkan kejayaan mengatasi filem antarabangsa, Jurassic World dan Top Gun Maverick di pawagam.

“Saya dan pasukan produksi telah menjalankan usaha terbaik untuk penghasilan filem ini. Bagi kami, terhasilnya filem ini juga sudah merupakan satu kejayaan. Soal kutipan, memang kami semua serah pada Yang Maha Esa.

“Tapi apabila diberitahu info mengenai jumlah kutipan dah cecah lebih RM12 juga melebihi pula dengan filem luar negara, saya pun dah tak tahu, sama ada perkataan berbaloi itu tepatkah untuk gambarkan perasaan ini. Ia lebih daripada itu. Alhamdulillah dan terima kasih semua kerana menyokong,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya