fbpx

Raja Ilya sempat rakam lagu walau sarat mengandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Meski sedang sarat mengandung kini dengan kandungan sudah mencecah usia 32 minggu, pelakon, Raja Ilya sempat merakamkan semula lagu ‘cover’ dari Bollywood berjudul Zara Zara.

Lagu berbahasa Hindi dendangan asal nyanyian penyanyi wanita bernama Bombay Jayashri itu pernah dijadikan runut bunyi filem Rehnaa Hai Terre Dil Mein diterbitkan pada tahun 2001 selain dibintangi Madhavan, Saif Ali Khan dan Dia Mirza.

Menurut Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, tawaran merakamkan semula lagu berkenaan dengan versi tersendiri itu ditawarkan penerbit muzik dan komposer dari Malaysia, Krishinthen Shanmugam sekitar September tahun lalu.

“Lama juga saya fikir untuk menyanyikan lagu ini atau sebaliknya. Tambah pula saya sedang berbadan dua. Lagipun saya bukan penyanyi profesional. Selama ini pun saya tak pernah menyanyikan lagu Bollywood secara serius atau profesional.

“Saya awalnya tak yakin dengan diri sendiri. Tapi komposer itu yakin saya boleh melakukannya. Malah dia siap menghantar demo lagu itu untuk saya cuba nyanyikan,” katanya yang melancarkan lagu berkenaan hari ini jam 5 petang di platform YouTube dan media sosial.

Tambah isteri kepada Trent Garret itu, akhirnya kepercayaan diberikan komposer terbabit tidak mampu ditolak lagi.

“Fikir punya fikir, saya akhirnya bersetuju dan mencabar diri. Akhirnya saya sendiri jatuh hati dengan lagu itu yang diakui sangat popular dan ramai orang suka. Malah ramai yang menyanyikan lagu itu dan dikongsi di YouTube.

“Bagaimanapun, bukan mudah proses rakaman. Berbulan juga. Lagipun saya di Perth, Australia dan komposer itu di KL. Tapi dengan kemajuan teknologi, proses rakaman itu tetap berjalan seadanya.

“Tak saya nafikan, banyak juga kesilapan dilakukan semasa rakaman. Lalu, komposer kena bimbing saya banyak kali untuk memperbetulkan kelemahan dan kekurangan. Termasuklah cara sebutan bahasa Hindi untuk lagu itu selain tempo,” katanya.

Bintang filem Suamiku, Encik Perfect 10 itu menambah, proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ terbitan Vineyard Records itu juga memakan masa.

“Rakaman suara saya itu selepas melalui beberapa proses turut dihantar ke sebuah studio muzik di United Kingdom, London untuk diadun secara profesional.

“Ketika itu, saya rssa gementar  kerana pelbagai perasan mencengkam saat proses lagu itu menuju kepada penamatnya. 

“Malah komposer itu turut memberitahu versi bahasa Tamil lagu itu juga akan dinyanyikan selebriti Bollywood bernama Sophie Choudhry. Saya sempat ‘google’ namanya di internet dan ternyata Sophie penyanyi profesional,” katanya.

Dalam pada itu, Ilya memaklumkan yang hujung minggu ini juga turut akan diadakan majlis ‘baby shower’ bertemakan  Bollywood untuk anak yang dikandungnya itu.

“Jadi kenalah juga kehadiran single ‘cover’ ini dengan tema majlis ‘baby shower’. Saya pun anggap ini rezeki bakal anak saya dan  suami dapat rakam lagu,” katanya.

Terdahulu, Ilya mendirikan rumah tangga bersama lelaki warga negara Australia, Trent Garret pada Disember 2018.

Selepas mendirikan rumah tangga, Ilya berpindah ke Perth dan sudah dua tahun tidak pulang ke Malaysia akibat penularan pandemik Covid-19 dan dia dijangka akan melahirkan anak perempuan sulungnya pada pertengahan Julai depan.

POPULAR

KOSMO! TERKINI