KUALA LUMPUR : Lebih 10 tahun terlibat dalam dunia perniagaan, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pengasas Secret Desire, Cheta Potpet sebenarnya terlebih dulu turut aktif dalam nyanyian selain pernah bergelar ‘mak andam’.
Cheta Potpet, 35, atau nama sebenarnya, Rozita Baharom berkata, pengalaman yang kutip bersama kumpulan Tribute Crew menjadi penggerak buat dirinya untuk meneruskan minat menyanyi dengan menghasilkan single sulung, Aku Yang Kau Mahu.
“Saya bermula dari bawah sebenarnya, bukan secara tiba-tiba berada pada kedudukan sekarang. Sekitar 2012 pada usia 21 tahun, saya aktif buat persembahan bersama ‘live band’ yang dikenali sebagai Tribute Crew.
“Waktu itu selain berjinak-jinak dalam dunia nyanyian, saya kerap juga buat mekap atas sebab minat. Sajalah cari duit lebih kerana saya jenis yang kuat kerja, suka cari duit. Ada masa, saya juga uruskan soal jual beli kereta.
“Kalau nak cakap pasal hinaan dan caki maki, jangan cakaplah. Macam-macam saya pernah kena. Tapi bila dikenangkan, itulah yang jadi sumber kekuatan. Sebabnya saya percaya, selagi kita berusaha insyaAllah akan ada hasilnya. Orang luar mungkin boleh ‘judge’ tapi mereka tak kenal kita 100 peratus.
“Dalam fasa itu saya kemudian berkenalan dengan suami, Aaron Lee dan beliau yang banyak beri dorongan untuk fokus, beralih dalam bisnes kecantikan. Syukur jalan yang dipilih menjadi asbab rezeki saya sehingga ke hari ini, alhamdulillah” katanya.
Mengulas mengenai single sulungnya itu pula, anak keempat dari lima beradik ini menjelaskan ia dirakam hampir dua tahun lalu.
“Lagu Aku Yang Kau Mahu dihasilkan bersama Aepul Roza dan saya turut terlibat dalam penghasilan lirik. Lagunya berentak ‘fast’ dan rasanya genre itu serasi dengan tone suara saya. Sudah pun ada di YouTube Rusa Music dan hingga kini menerima lebih 52,000 tontonan.
“Tak sangka juga kerana saya bukanlah siapa-siapa dalam industri seni. Lagu pun tak keluar radio tapi tontonan boleh cecah puluhan ribu. Syukur sangat. Mungkin kerana ‘branding’ nama itu sendiri selain dapat sokongan pengguna jenama saya juga.
“Jadi sekarang adalah masa sesuai untuk saya kembali berkongsi mengenainya. Kalau boleh, saya mahu Aku Yang Kau Mahu ini didengari lebih ramai pencinta muzik. Sebab saya tahu, saya mampu menyanyi dengan baik dan lagu itu pun ‘cathy’. Sayang kalau disia-siakan.
“Mungkin percubaan pertama saya ini ada yang terkurang. Tapi saya optimis sebab daripada situ kita boleh kenal pasti apa yang boleh kita tambah baik. Insya-Allah selepas ini saya rancang untuk terbitkan single kedua pula,” katanya lagi.
Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pengasas kosmetik yang hanya buat lagu tangkap muat demi publisiti, Cheta bersikap terbuka.
“Itu mungkin cara masing-masing. Terpulang dan rasanya peminat kini bijak menilai. Saya sendiri bertahun-tahun ada pengalaman menyanyi secara ‘live’. Malah lagu pertama saya itu pun dibuat kerana minat yang bukan dibuat-buat. Saya memang boleh menyanyi.
“Kalau tak percaya, saya boleh sahut cabaran, nyanyi secara langsung. Sebab mungkin akan ada yang kata, saya guna ‘auto tune’ 100 peratus bagi suara lebih sedap. Benda itu memanglah ada, cuma banyak atau tidak sahaja. Tak percaya dengarlah lagu tu dan nilaikan,” katanya.
Terbaharu, namanya turut viral gara-gara mempunyai iras wajah penyanyi Ifa Raziah hingga ada yang anggap mereka adik-beradik
“Lama dah orang bercakap, wajah kami macam lebih kurang. Tahun lalu saya dan Ifa ada bertemu tapi waktu tu belum rapat lagi. Cuma masing-masing dah perasan, raut muka nampak macam sama.
“Bila dapat bekerjasama dalam satu projek tahun ini, barulah kami mulai rapat dan saya bagi saya, Ifa wanita kuat yang komited juga tegas. Dia tahu apa yang dia buat. Persamaan kami pun banyak.
“Tapi tidaklah bermakna saya nak tumpang glamor dia. Masing-masing ada personaliti sendiri. Hanya ada satu sahaja Ifa Raziah dan Cheta Potpet. Kalau wajah iras, ia hanya kebetulan. Kata orang, pelanduk dua serupa,” katanya.