Lawan Anxiety, bangga biarpun tewas - Utusan Malaysia

Lawan Anxiety, bangga biarpun tewas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gara-gara menghidap masalah kebimbangan melampau (anxiety), Mina Amira, 25,  berkata, dia pernah hilang semangat semasa melakukan persembahan sehingga ia menjejaskan prestasinya.

Mina, atau nama sebenarnya Nursyahmina Amirah Adnan, akui mula berhadapan dengan penyakit itu sejak 2019.

“Waktu itu, saya menyertai pertandingan festival seni yang dianjurkan Universiti Malaya untuk pelajar-pelajarnya.

“Semasa membuat persembahan, saya rasa terlalu penat dan tiba-tiba otak terus blank. Sejak itu, saya mula rasa trauma kerana tidak mahu perkara itu berlaku lagi.

“Sebelum menyertai rancangan televisyen realiti, Lagu Cinta Kita Musim Kedua (LCK 2), saya sempat berjumpa dengan doktor dan telah diberikan ubat untuk mengawal perasaan itu. Saya akan makan ubat itu setiap kali sebelum melakukan persembahan,” kata anak kelahiran Selangor itu.

Mina memberitahu, persembahan nyanyiannya sejak itu bertambah baik dan dipuji oleh juri dan penonton LCK 2 selama dua minggu.

Namun, katanya, selepas itu, prestasinya tiba-tiba jatuh kerana serangan kebimbangan yang semakin teruk. Dia dinasihatkan menambah dos ubat.

Walaupun sukar, Mina tetap komited untuk melawan penyakit itu dengan sentiasa berfikiran positif dan mendapatkan sokongan daripada kawan-kawan dan keluarga.

“Akhirnya, di pentas separuh akhir LCK 2, walaupun tersingkir, saya tetap bangga dan berpuas hati kerana mampu melawan penyakit tersebut,” katanya.

Selain menyertai rancangan lagu LCK 2, bakatnya turut dicungkil menerusi program I can See Your Voice Malaysia Musim Kedua.

Setakat ini, Mina Amira telah mengeluarkan lagu Mempercayaimu (2020) dan yang terbaharu, Bila Mencintaimu.

Menurut Mina, lagu yang ditulis oleh Deera Lee dan dikompos oleh Zul Norizan itu dilancarkan pada tahun lalu.

Bila Mencintaimu mengisahkan tentang pasangan bercinta yang mempunyai happy ending. Perjalanan cinta mereka memang manis dari mula sampai ke hujung.

“Kebetulan, masa itu saya sudah mahu berkahwin, jadi, muzik video lagu ini dilakonkan oleh saya dan bakal suami pada waktu itu,” jelas anak keempat dari lima beradik itu.

Selain menyanyi, Mina juga sedang berjinak-jinak melibatkan diri dalam bidang lakonan. Dia pernah muncul dalam Telemovie Mendongak ke Langit.

“Walaupun turut mempunyai pekerjaan tetap sebagai penganalisis sistem, saya akan sentiasa mencari pelaung dan berusaha untuk memperbaiki diri dalam bidang seni,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya