Banyak kisah mereka buat saya meruntun hati - Tya Ariffin - Utusan Malaysia

Banyak kisah mereka buat saya meruntun hati – Tya Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan usahawan, Tya Ariffin, 28, tidak menolak setiap kali mendengar kisah sedih perjalanan dan liku kehidupan kelompok wanita yang bersama membangunkan jenama Mutyara, ia membuatkan nalurinya sebagai seorang ibu begitu tersentuh.

Menurut Tya, dia sedar setiap wanita melalui pengalaman dan fasa kehidupan yang mungkin berbeza namun satu yang amat dikagumi adalah lazimnya, kaum wanita tidak akan berada jauh dengan pengertian pengorbanan.

“Banyak kisah jatuh bangun usahawan-usahawan Mutyara yang membuatkan hati saya begitu tersentuh. Satu daripadanya yang mengesankan jiwa ialah bagaimana seorang daripada mereka, hampir kehilangan cahaya hidup kerana suami meninggal dunia dan takdir menjadikannya ibu tunggal di usia sangat muda sekelip mata.

“Dia hampir bunuh diri. Tetapi, Allah SWT membuka pintu hatinya untuk terus bersabar dan bangkit daripada penderitaan hidup. Dia tahu dirinya tak boleh putus asa. Sekarang, Alhamdullillah,saya sendiri bangga lihat perkembangan kerjayanya.

“Dalam masa setahun dah boleh beli rumah sendiri, naik taraf hidupnya dan berikan ibu dan anak-anaknya hidup yang lebih baik. Kebetulan, itu adalah satu daripada impian yang pernah dia rancang bersama arwah suaminya 10 tahun lalu,”katanya.

Selain itu, kata menantu penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza ini lagi, ramai kalangan wanita yang bersama menggerakkan Mutyara merupakan ibu tunggal dan suri rumah dan ini menjadi penguat untuknya terus menyuntik semangat bagi mencipta kejayaan bersama.

“Jenama ini sudah masuk tahun keempat dan saya memang fokus nak bantu golongan wanita. Alhamdulillah, setakat ini, sebanyak 32,000 usahawan yang telah berjaya bersama Mutyara. Pun begitu, perjalanan saya masih panjang sebab masih ramai lagi wanita di luar sana yang harus dibantu.

“Saya sasarkan pada tahun ini untuk bantu seramai 100,000 wanita pula untuk jana pendapatan tanpa modal. Saya nak berikan peluang itu supaya mereka tiada alasan lagi untuk tidak mempunyai pendapatan sendiri,”katanya.

Sementara itu, Tya juga memberitahu,  pihaknya telah menghasilkan sebuah  filem pendek berjudul Hasrat yang merupakan kisah adaptasi kisah benar usahawan di bawahnya.

Berkongsi lanjut, kata Tya, filem pendek itu dimuat naik dan boleh ditonton di saluran Youtube The Tya’s Family dan bertujuan memberi suntikan inspirasi buat semua kaum wanita yang mahu bangkit memperbaiki diri dan mengubah hidup.

“Banyak kisah menarik dan mengagumkan yang saya dengar daripada wanita-wanita ini. Segala cabaran dan pengorbanan, saya rasa sayang sekali kalau tidak dikongsikan dengan wanita lain di luar sana.

“Saya nak mereka tahu bahawa mereka tak berseorangan. Filem pendek itu dihasilkan memang berdasarkan kisah benar.  Saya harap Hasrat ini boleh dijadikan inspirasi buat wanita lain yang nak berusaha merubah hidup yang lebih baik,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengapa tidak ada kelibatnya di sepanjang penghasilan filem tersebut, ini jawapan yang diberikan oleh Tya.

“Saya tak buat kemunculan sebab kejayaan Mutyara ini adalah kerana adanya usahawan-usahawan ini. Bagi saya, biarlah kisah usahawan ini yang kita kedepankan. Buat saya, cukup dengan menonton dan hasilkan filem itu, ia memberikan kepuasan buat diri.

“Sebenarnya, saya lagi suka berada di belakang tabir dan membantu mengasah keyakinan mereka ini. Saya tetap akan sokong mereka sebagaimana prinsip yang saya sentiasa pegang, mahu menjadi manusia yang bermanfaat buat orang lain.’

“Semoga niat dan hasrat saya ini termakbul dan doakanlah agar ia dapat dipenuhi. Insya-Allah,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya