Lovaa Cosmetics yakin terap konsep pelik dan kreatif - Utusan Malaysia

Lovaa Cosmetics yakin terap konsep pelik dan kreatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Percaturan nekad pasangan suami isteri meninggalkan kerjaya badan beruniform dan menceburi bidang perniagaan menerusi Lovaa Cosmetics ternyata membuahkan hasil.

Ia adalah menerusi langkah berani yang diambil oleh Suzieyana Hijau, 29, sebagai pengasas dan suaminya, Muhammad Syarizal Mohd Deno (Ketua Pegawai Eksekutif), 26, ketika negara sedang berada di fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada Mac tahun 2020.

Apa yang menarik, kedua-dua individu ini menggunakan cara yang tersendiri untuk melebarkan sayap perniagaan mereka di bawah jenama Lovaa Cosmetics, melawan arus kebiasaan pasaran kosmetik di Malaysia dengan menerapkan konsep ‘pelik’ dan kreatif.

Menurut Suzieyana, sejak November lalu, jenamanya telah memasarkan produk kedua iaitu kit pembentuk alis mata diberi nama Eyebrow Kit #SakaKeningLovaa dan menyaksikan percaturannya menjadi apabila dalam tempoh sebulan lebih 110, 000 unit telah berjaya terjual.

“Kami anggarkan jualan kali ini boleh terjual lebih 150,000 unit dalam tempoh kurang sebulan. Kami juga ingin terus membantu suri rumah khususnya wanita untuk menjana pendapatan lumayan.

“Ketika ini kami ada 1,000 agen di seluruh negara, Brunei dan Singapura. Pada masa akan datang, kami juga merancang untuk lebarkan sayap ke Indonesia pula,”katanya.

Suzieyana yang pernah bertugas sebagai anggota polis itu berkata, dia dan suami berfikir di luar kotak dan zon selesa dalam memasarkan produk kosmetik ‘pelik’ mereka.

“Kami menawarkan kosmetik berinovasi dan kreatif ini, yang pada mulanya dirasakan pelik atau unik. Tapi misi untuk wujudkan produk yang memberi solusi mudah untuk mereka yang tidak pandai bersolek ternyata berhasil melalui sambutan yang sangat luar jangkaan.

“Kami mengambil idea penghasilan produk dari luar negara yang ternyata lebih ke depan. Ironinya kita di Malaysia ketinggalan dan terkebelakang dalam hal ini.

“Asalnya, kami mahu mengikut cara kebiasaan kosmetik tempatan yang mengeluarkan produk hampir sama dan hanya berbeza melalui pembungkusan, tekstur dan formula.

“Tapi apa guna mengikut persamaan itu kalau kita boleh wujudkan idea baharu. Justeru kami nekad ambil risiko dan memberanikan diri menjadi satu jenama yang unik itu,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Syarizal yang pernah bertugas sebagai anggota penguatkuasa di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula percaya jenama mereka bukan dipasarkan untuk merumitkan golongan wanita mahupun sekadar kosmetik biasa.

“Kami optimis dengan gerakan haluan berbeza menerusi kosmetik mudah, ringkas dan kreatif. Isteri saya sendiri akur dia bukan pandai sangat bersolek pada awalnya. Begitu juga dengan majoriti golongan wanita di luar sana.

“Lalu Lovaa yang diinspirasikan daripada perkataan ‘Love’ atau cinta itu umpama kasih sayang yang dizahirkan menerusi produk solekan kami yang memudahkan rutin solekan mereka, semuanya senang.

“Pendek kata ‘kasih sayang’ atau cinta itu bersifat memudahkan dan lebih praktikal, walaupun pengguna sedang berada di dalam kenderaan. Celak mata kami (2StepEyeliner) contohnya hanya perlu cop dan garis di bahagian kelopak mata. Kit alis mata (Eyebrow Kit) pula hanya perlu ditekap di bahagian kening dan siap kurang dari 10 saat,” katanya.

Selain itu, kata Muhammad Syarizal, usahanya dan isteri disifatkan sesuatu yang mungkin dipandang skeptikal atau janggal dari kebiasaan.

“Namun sampai bila kita mahu berada di takuk lama. Kami mahu menzahirkan industri kosmetik dan solekan amnya yang tidak di paras klise lagi. Kita perlu bergerak pantas.

“Seperti tag line kami, “mula dari bawah, buat sampai jadi”, kami juga bertekad merealisasikan apa yang diingini biarpun pada awalnya ada yang menentang hasrat kami berhenti kerja tetap untuk menceburi perniagaan.

“Tiada yang mustahil untuk setiap perkara dalam kehidupan,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya