fbpx

Penat? Banyak lagi belum saya capai – Nana Mahazan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pengacara, Nana Mahazan, 39, mengaku ada ketika dirinya juga mengalah dengan perasaan lelah dan putus asa sepanjang membina dan memberi tumpuan pada perkembangan kerjayanya.

Menurut Nana, sebagai manusia biasa, dia juga tidak dapat lari daripada perasaan itu namun lekas-lekas memastikan diri kembali ke trek asal agar tidak terus hanyut dengan sifat malas.

“Penat, tak larat, malas, rasa tak nak buat…Pernah? Saya pernah. Banyak kali. Tapi, adakah perasaan putus asa itu berbaloi? Tidak. Sekurang-kurangnya buat saya.

“Saya kena juga teruskan apa yang sudah saya usahakan secara persisten dan konsisten. Banyak lagi yang belum dicapai. Berbakti pada mak abah, simpan duit untuk anak-anak, keluarga, adik-beradik, pasukan saya dan sebanyak mana yang boleh untuk saya bantu dan beri manfaat.

“Penat, boleh rehat sekejap. Malas, cari kekuatan daripada sistem sokongan. Putus asa? Besarkan impian. Ia tak akan jadi begitu mudah tetapi percayalah, ia akan berbaloi. Dapatkan bantuan, tak mengapa,”katanya.

Nana berkata demikian menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam akaun Instagramnya semalam.

Menerusi hantaran yang sama, selebriti serba boleh ini juga berkongsi pesanan daripada seorang gurunya yang menyebut penghalang kejayaan datangnya daripada diri sendiri.

“Kita pilih. Kita buat. Bersungguh-sungguh. Bukan senang nak senang dan tak susah nak susah. Hidup ada pilihan. Kita pilih yang mana? Tak mengalah dan cuba sehabis baik atau berhenti atau lebih sedih bila, cuba pun tak nak.

“Kita kena ingat, Allah SWT selalu melihat usaha-usaha hambaNya, seperti dalam firman Allah dalam surah Ar-Ra’ad ayat 11, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka”.

“Jadikan petikan ayat ini untuk menguatkan semangat diri sendiri dalam melalui apa-apa situasi sekalipun dan jangan berputus asa kerana Allah membenci orang-orang yang berputus asa,”katanya.

Dalam pada itu, untuk info, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim pertama ini mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Muhammad Raqeem Brian pada tahun 2009.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan.

POPULAR

KOSMO! TERKINI