"12 tahun yang bermakna..." - Zac Zaky, Eleen selamat diijab kabulkan - Utusan Malaysia

“12 tahun yang bermakna…” – Zac Zaky, Eleen selamat diijab kabulkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pempengaruh dan usahawan, Sharifah Eleen yang baru sahaja menamatkan zaman bujang bersama personaliti media sosial dan pelakon, Zac Zaky mencoretkan dedikasi teristimewa buat suaminya sepanjang perkenalan.

Menerusi entri Instagram, dia memuat naik beberapa perkongsian gambar bersama pelakon drama Perempuna Tanpa Dosa itu ketika di hari bahagia mereka.

Menurut Eleen, dia menitipkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana hubungan selama 12 tahun bersulamkan asam garam perhubungan, berkekalan hingga ke jinjang pelamin.

“2010 hingga 2022, 12 tahun yang sangat bermakna. 12 tahun dulu, Eleen dengan Zakir muda sangat. Kalau cakap kita nak setia sampai kahwin, semua orang akan gelak cakap itu cinta monyet sahaja.

“Siapa sangka, selepas 12 tahun takdir Allah menentukan, kita akhirnya bergelar suami isteri. Kehidupan Eleen dengan Zakir tidak seperti yang ramai sangka.

“Kami dah kerja dari muda. Merantau sama-sama mencari kerja. Susah senang Zakir, susah senang Eleen juga. Kita pernah rasa susah yang teramat, rasa sedih, berhujan serta berpanas,” kongsinya di Instagram.

Mengulas lanjut, pengalaman susah dan senang hidup bersama sebelum ini mematangkan lagi untuk mereka menempuhi cabaran sebagai sepasang suami isteri selepas ini.

“Apa yang Zakir makan, Eleen pun ikut sama makan. Kalau Zakir rasa susah, susah juga lah hati Eleen ini. Kalau Zakir tiada duit makan dulu, Eleen akan mencari cara supaya dia makan. Tetapi, bila dia ada sahaja rezeki tidak pernah sekali tidak mencari Eleen.

“Susah macam mana pun kita dahulu, kami sentiasa memilih untuk bersama. Zakir sayang Eleen lebih dari saya sayang diri sendiri. Zakir tidak pernah janji macam-macam dengan Eleen kerana dia bukan orang yang manis dengan kata-kata.

“Tetapi dia pernah cakap ‘kalau saya nak jadikan isteri, saya akan pastikan awak menjadi isteri saya’. Tiada hadiah yang lebih bermakna dalam hidup ini selain Allah anugerahkan awak sebagai suami saya,” coretnya panjang.

Rata-rata warganet turut menzahirkan rasa gembira selain mendoakan agar mereka sentiasa dimurahkan rezeki dan berkekalan sehingga ke syurga Allah.

Sekadar informasi, pasangan merpati dua sejoli ini selamat diijab kabulkan pada tanggal 12 Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya