Bapa saya tenat, itu bukan alasan yang sengaja dicipta! - Nina Smith - Utusan Malaysia

Bapa saya tenat, itu bukan alasan yang sengaja dicipta! – Nina Smith

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Terkilan dengan tuduhan yang dilemparkan oleh pelakon senior Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, pelakon baru, Nina Smith,22,berasa tidak adil andai warga net mendengar daripada sebelah pihak sahaja.

Menjelaskan mengapa dia terpaksa menarik diri daripada penggambaran drama Bunga Hati terbitan Zeel Production, Nina atau nama sebenarnya, Amalina Smith, mengaku terpaksa berbuat demikian kerana tersepit dengan keadaan bapanya yang sedang sakit tenat.

Kata Nina, dia sedar telah pun meletakkan satu kaki menjalani penggambaran drama itu, namun mengenangkan ujian datang secara tiba-tiba pelakon ini terpaksa akur untuk mengutamakan keluarga dahulu.

“Untuk pengetahuan semua, saya bukan sengaja tarik diri. Ada sebab saya terpaksa membuat keputusan sebegitu. Hujung minggu lalu, saya dapat panggilan telefon daripada rakan bapa saya.

“Dia beritahu keadaan bapa saya semakin teruk. Bapa saya sekarang berada di Amerika Syarikat (AS) dan mengalami serangan strok.

“Semalaman saya fikir dan sampai tak boleh tidur. Saya fikir, kalau saya teruskan juga penggambaran, takut nanti saya tak dapat nak buat selebihnya. Keadaan saya tersepit. Saya nak ke AS jumpa bapa dan tak tahu lagi bila akan pulang ke Malaysia,” katanya.

Semalam, Ogy menerusi sebuah portal tempatan meluahkan rasa berang terhadap seorang pelakon baru dipercayai Nina Smith kerana tindakannya menarik diri daripada penggambaran tersebut yang telah pun berjalan.

Menurut Ogy yang turut terbabit dalam penggambaran tersebut, tindakan Nina itu telah menyusahkan ramai pihak dan menyebabkan banyak babak terpaksa dilakukan semula.

Selain itu, mengulas lanjut mengenai hal itu, Nina juga mengaku bimbang jika terjadi perkara buruk terhadap bapanya dan dia pula tidak berpeluang untuk bertemu buat kali terakhir kelak akan menyebabkan dirinya berasa ralat dan terkilan.

Dalam pada itu, Nina cuba berlapang dada dan mengetahui bahawa keputusan yang dibuatnya itu kelak mungkin akan mengganggu kerjaya seni yang baru sahaja bermula namun reda dengan apa yang akan berlaku.

Nina juga berkata, dia sudah lama tidak bertemu dengan bapanya yang menetap di AS sejak berpisah dengan ibunya.

“Sebenarnya saya dah dapat agak benda ini akan terjadi dan sudah bersiap sedia pun dengan risiko yang saya ambil ini.

“Selepas ibu bapa saya berpisah, bapa saya terus pulang ke AS dan kali terakhir saya jumpa dia adalah semasa usia saya 19 tahun. Lepas itu, saya tak dapat jumpa sebab pandemik Covid-19. Jadi, bila dapat tahu keadaan bapa makin teruk, sudah tentu saya nak jumpa dia,” ujarnya.

Untuk rekod, Nina sebelum ini menyertai program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) dan kemudian dihantar ke bengkel lakonan yang dikendali oleh Ogy.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya