KUALA LUMPUR: Menceburi bidang nyanyian di kala pendatang baharu yang lebih muda membanjiri industri bukan satu halangan yang menggusarkan kumpulan, D’otaiboyz.
Jelas pemain keyboardnya, Man, D’otaiboyz yang dianggotai enam jejaka itu tidak melihat populariti sebagai tujuan utama mereka menceburi bidang nyanyian secara serius.
Sebaliknya, minat yang mendalam dan rasa untuk berkongsi muzik membuatkan mereka berenam lebih mahu bekerja keras dalam memastikan lagu dan karya diterima peminat.
“Kami semua tak kejar popular pun. Seikhlas hati untuk berkongsi karya muzik dan keunikan kami sendiri. Persaingan itu kalau dilihat secara positif akan membuka lebih banyak peluang untuk semua.
“Kami sedar, untuk jadi artis di usia tidak muda lagi ini bukan senang. Tetapi kena kerja keras lah. Karya muzik ini, jika ikhlas daripada hati InsyaAlah akan diterima semua,” katanya.
Bakal melancarkan single pertama, Permataku secara rasminya malam ini menerusi Youtube, jelas pemain bass, Zai berharap agara peminat akan terbuka dan menerima muzik mereka.
“Permataku adalah ciptaan sepenuhnya Man. Kami berbincang dan semua bersetuju untuk menjadikan Permataku sebagai single pertama. Harapnya semua akan menerima dengan baik dan dapat sambutan menggalakkan.
“Kami juga sebenarnya sudah merancang untuk merakam single kedua tetapi tunggu dahulu. Lihat bagaimana sambutan Permataku,” katanya.
Single pertama kumpulan yang dianggotai lima anak kelahiran Singapura dan seorang rakyat tempatan ini juga boleh didapati di semua platform digital dan Youtube.