PETALING JAYA: Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang berjaya mencuri satu mata berharga pada aksi liga super menentang Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya(MBPJ), semalam.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, keputusan seri itu cukup bermakna memandangkan anak buahnya beraksi di tempat lawan selain berdepan tekanan tinggi daripada tuan rumah.
“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan aksi separuh masa pertama. Kami bolos dalam situasi yang sepatutnya boleh dikawal, namun pemain bangkit dengan cepat dan itu memberikan tenaga baharu kepada pasukan.
“Pada separuh masa kedua, kami sudah jangka Selangor akan meningkatkan tekanan. Pemain sedikit keletihan dan terpaksa bertahan sehingga wisel penamat untuk memastikan satu mata ini,” katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, Sabah mempamerkan semangat juang tinggi apabila hanya memerlukan kira-kira tiga minit untuk bangkit selepas ketinggalan, selain disifatkan Garrido sebagai hasil peningkatan aspek mental pemain.
“Ini yang kami tekankan iaitu mentaliti. Bolos adalah sebahagian daripada permainan, jadi pemain perlu segera fokus kepada aksi seterusnya. Saya gembira mereka berjaya lakukannya,” ujarnya.
“Kami mahu lebih banyak menguasai permainan seperti dalam separuh masa pertama, tetapi keletihan menyebabkan pemain cenderung bermain hantaran jauh. Kami perlu lebih berani mengawal bola walaupun berada di bawah tekanan,” jelasnya.
Mengulas persiapan menghadapi perlawanan penting seterusnya, Garrido menegaskan fokus kini terarah sepenuhnya kepada aksi timbal balik menentang Penang FC dalam Piala Cabaran.
“Perlawanan ini menjadi persiapan penting. Kini kami beri fokus 100 peratus, malah 120 peratus kepada aksi tersebut.
“Kami tahu Penang pasukan yang kuat dan kami perlu tampil lebih baik jika mahu mencatat kemenangan,” katanya. – UTUSAN










