Industri bajet ‘ciput’ bagai dongeng lucu - Utusan Malaysia

Industri bajet ‘ciput’ bagai dongeng lucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRATNYA hendak tonton filem atau drama berkualiti macam Hollywood. Tapi kalau sudah namanya Malaywood, balik-balik begitu jugalah tahapnya.

Luahan seperti ini sudah sering kita dengar daripada golongan penonton di negara ini. Bukan niat untuk menjatuhkan, tetapi kerana sayang akan potensi dan bakat yang ada pada penggiat industri kreatif tanah airlah maka komen-komen seperti ini dilontarkan.

Sejak sekian lama, sepatutnya industri juga wajar bergerak ke hadapan dengan pelbagai penambahbaikan yang membangun. Bukannya apabila tahun bersilih ganti, namun kisah bayaran atau bajet masih di takuk lama.

Ini bukan tahun 70-an atau 80-an yang mungkin harga barang ketika itu masih murah lagi. Tiga bulan lagi, dunia juga akan merangkak masuk ke tahun 2022. Namun sektor perfileman dan drama tempatan masih perlu ‘bergaduh’ mengenai soal bayaran dan bajet sesebuah karya.

Sungguh, bagaimana keadaan ini tidak dipandang sebagai lucu? Tatkala industri luar seperti di Korea Selatan pun sudah sampai ke tahap Hollywood dengan karya-karya seninya mendapat perhatian dunia.

Kita? Boleh duduk di tepi dan tutup muka malu.

Apa kata penggiat seni tempatan mengenai kemelut tidak berkesudahan ini? Ini untuk tatapan pembaca budiman.

Perlu disemak dan dikaji setiap 10 tahun – Yusuf Haslam

Antara orang lama dan taikun dalam filem tempatan, Datuk Yusof Haslam pula berpandangan seharusnya setiap 10 tahun semakan dan kajian terperinci perlu dilaksanakan bagi menangani isu-isu seperti ini.

Menurutnya, secara peribadi, dia juga merasakan seakan tidak kena dengan susunan bajet sesebuah drama atau filem yang dianggap tidak berada di tahap yang sepatutnya jika hasil yang diinginkan berada pada tahap antarabangsa.

“Saya tahu ada drama luar yang mana perbelanjaannya paling tidak dalam setengah juta. Kita pula sejak 35 tahun dulu masih tiada perubahan yang setimpal. Contohlah, dulu masa tahun 80-an, bajet sesebuah filem RM40,000.

“Zaman itu, kerani pun gaji RM300. Hari ini, kerani pun sudah bergaji RM1,000 ke RM2,000. Tapi bayaran kita pula masih sama.

“Sebelum peralihan kerajaan tempoh hari, saya lihat adalah kenaikan dari segi bayaran tapi tak relevan lagi sebab itu saya cadangkan kena buat kajian setiap 10 tahun,”katanya.

Menurut Yusof, golongan pengarah juga sebenarnya tidak menerima bayaran yang setimpal jika mengikut bajet yang biasanya dibentangkan untuk sesebuah drama.

Katanya, berbanding pelakon yang kini sekurang-kurangnya ada kenaikan bayaran, pengarah pula masih menerima bayarana di takuk lama.

“Contoh, dulu pengarah drama televisyen dibayar RM3,000. Pelakon masa itu kalau dapat watak utama untuk siaran drama RTM misalnya, adalah dibayar dalam RM600 satu episod. Zaman itulah. Kalau dapat berlakon watak utama telefilem slot perdana pula adalah dalam RM3,000.

“Tapi pengarah pula, sampai ke hari ini masih sama juga bayarannya sedangkan gaji pelakon naik. Saya faham stesen televisyen pun ada kekangan tapi masa ekonomi tengah bagus pun tidak ada kajian yang dibuat.

“Ramai kawan-kawan industri pun merayu perkara serupa. Pengarah pun merungut bila bayangkan, bayaran pelakon yang pengikutnya berjuta dibayar lebih tinggi daripada dia. Itu yang jadi masalah bila nak berkarya. Kena realistiklah,”katanya.

Sistem digunapakai yang salah – Hans Isaac

Bekas pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Hans Isaac berpendapat sistem penghasilan drama dan filem di Malaysia yang agak terburu-buru menjadi antara kekangan terbesar untuk pembikin filem menghasilkan karya yang setaraf antarabangsa.

Hans berkata, tempoh penghasilan yang singkat disamping perancangan yang tidak teliti mengakibatkan produk-produk yang dihasilkan tidak berjaya mencapai standard dan kualiti yang dilihat ada pada filem-filem antarabangsa.

“Pembikin luar akan mengambil sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun untuk menghasilkan sesebuah filem atau drama.

“Contohnya, sesebuah drama akan ada perintis, contoh tiga epidod awal yang akan dipertontonkan kepada audiens terlebih dahulu. Jika mendapat sambutan, mereka akan suntik lebihan dana untuk mengembangkan drama tersebut kepada dua, tiga musim dan seterusnya.

“Di Malaysia pula sebaliknya, sesebuah drama dan filem terhasil dalam tempoh lebih singkat. Sistem yang digunapakai adalah salah,” katanya.

Pada masa yang sama, Hans turut bersetuju bahawa dana yang kecil juga menjadi sebab mengapa drama dan filem di Malaysia sukar untuk bersaing.

“Berapa jumlah yang dibayar stesen penyiaran untuk satu-satu episod? 20,000? 30,000?

“Dana yang diberikan tidak mencukupi. Terima bayaran, guna untuk kos makanan, pengangkutan dan lain-lain, apa sahaja yang tinggal?

“Jadi, dana yang diperuntukkan di Malaysia tidak besar jika dibandingkan dengan Hollywood atau pun industri filem di Korea,” tambahnya.

Bajet tak cukup, hasil tak seperti yang dibayangkan – Amerul Affendi

Bagi pelakon berbakat besar, Amerul Affendi, keterbatasan pengkarya untuk menghasilkan sebuah naskah berlandaskan barat adalah berpunca daripada bajet meskipun ramai dalam kalangan mereka mempunyai idea yang segar.

“Sebenarnya ia bukan berpaksikan barat ataupun Korea. Tetapi ia lebih kepada kandungan serta kualiti cerita. Ini semua berkaitan dengan pemikiran dan bajet, jadi penonton kita mahukan kelainan itu daripada pengkarya kita atau stesen televisyen.

“Bagi filem, tidak kira pengarah veteran atau muda, mereka mahu meneruskan untuk menghasilkan karya yang berkualiti.

“Namun, ianya terhalang oleh bajet kerana tidak cukup wang bagi menghasilkan filem seperti yang mereka bayangkan, ia terbatas,”katanya.

Dalam pada itu, Amerul turut mendakwa stesen televisyen kini seolah-olah enggan mengikut cita-rasa penonton dan masih di takuk yang lama iaitu memainkan drama yang ‘biasa’ disajikan di layar skrin.

“Kita lihat stesen televisyen ini seolah-olah enggan untuk mengikuti selera penonton pada masa ini. Penonton kini lebih terdedah kepada penstriman secara atas talian.

“Puncanya sebenarnya, stesen televisyen yang tidak mahu kemas kini dari segi bajet yang harus mereka penuhi untuk mendapatkan tahap seperti terdapat dalam saluran Netflix dan platform penstriman lain.

“Malah, dilihat pihak terbabit masih ingin menyajikan drama-drama yang penonton biasa sahaja.

“Tetapi hakikatnya, masyarakat khususnya golongan muda mendambakan karya di luar kotak kita” ujarnya.

Pandang bakat bukan ‘followers’ – Arie Azhari

Penerbit terkenal, Arie Zaharie juga ada pendapat sendiri berhubung isu panas ini.

“Bagi saya kita boleh buat sama taraf atau lebih lagi untuk mendapatkan hasil naskah yang macam itu. Cuma semua berpandukan kepada peruntukan yang kita buat dan perolehi daripada stesen TV yang ingin menayangkannya.

“Drama-drama yang ditayangkan dan hasil oleh produksi di Malaysia adalah drama yang dikekang oleh bajet. Jadi kita tidak boleh nak hasilkan karya seumpama itu dan kena ikut bajet yang telah stesen TV tetapkan.

“Drama luar pula pelaksanaannya menggunakan para pelakon yang ramai serta mempunyai alat penggambaran yang besar,” katanya.

Dalam pada itu, kata Arie, selebriti yang mempunyai pengikut di media sosial dengan jumlah yang tinggi juga adakalanya meminta bayaran tidak masuk akal.

“Kadang-kadang kami sebagai produser dapat hasil lebih rendah daripada mereka (pelakon). Ini pendapat saya,” tambahnya.

Ditanya lagi berkenaan pra-syarat pelakon perlu mempunyai jumlah pengikut ramai sebelum diambil berlakon, baginya hal sedemikian tidak wajar kerana sedikit sebanyak menjejaskan hasil karya sesebuah produksi.

“Kebanyakannya yang ada pengikut tinggi ini hasil keluaran media sosial seperti pempengaruh. Mereka dikenali bukan kerana mempertaruhkan bakat, tetapi majoriti mereka menghasilkan hiburan kosong untuk meraih perhatian masyarakat melalui isu-isu semasa.

“Saya lebih memandang serius pada mereka yang mempunyai bakat agar industri kami dapat menghasil karya-karya yang lebih bermutu dan di pandang tinggi. Insya-Allah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN