Bukti Sharifah Rose bukan sebarang ‘kayu’ - Utusan Malaysia

Bukti Sharifah Rose bukan sebarang ‘kayu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN main teruk wanita bernama Sharifah Rose ini dihentam warganet gara-gara lakonannya dalam drama arahan Michael Ang berjudul Kekasih Hati Mr Bodyguard siaran TV3.

Situasi itu berlaku sekitar Mei lalu, ketika awal-awal drama itu ditayangkan di kaca televisyen.

Apa yang menghairankan, enam bulan kemudian, alih-alih, wanita yang asalnya seorang pempengaruh media sosial ini dihujani pula dengan kata-kata pujian, juga daripada kelompok warganet.

‘Sihir’ apakah yang sedang berlaku ini? Iyalah, sebelum ini, apa sahaja yang tidak dilabel penonton pada Rose.

Dikata tak pandai berlakon, dilabel sebagai kayu, malah, pokok juga menjadi ‘mangsa’ sebagai perumpamaan terhadap cara lakonan Rose.

Pokok pangkalnya, memang si Rose ini tiada bakatlah sehingga ada yang mengatakan, lebih baik dia berhenti sahajalah menjadi pelakon dan tak perlu berada dalam industri.

Siapa sangka, wanita ini berjaya membuktikan bahawa dia tidaklah sekayu itu. Semuanya berbalik kepada soal, peluang dan ruang.

Bersama Pancaindera, anak muda berusia 23 tahun ini meluahkan rasa.

Baru-baru ini, lakonan Rose mendapat pujian ramai menerusi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard. Bagaimana awak melihat situasi ini?
Gembira dapat respons baik terutama apabila awal-awal dulu sebelum keluar, tak dapat respons yang baik. Sekarang sudah berbeza. Saya juga gembira bila tengok semakin ramai yang ikuti drama ini di kaca tv. Terasa berbaloi dapat menjayakannya dan menjadi sebahagian daripada pasukan drama ini.

Tentunya Rose sangat sedar sebelum ini diri pernah dikecam kerana dikatakan kayu, tak ada bakat lakonan selain cuma memperdagangkan wajah sebagai pempengaruh sahaja. Tetapi sekarang orang puji pula?
Tak dinafikan, masa mula-mula pernah dibelenggu dengan kesedihan. Iyalah, drama belum pun keluar lagi tapi ramai yang tampil mengkritik seakan tak beri peluang pada saya. Tapi bila fikir balik, kita sudah pun menjayakannya dan hanya mampu buat yang terbaik. Bila sudah buat yang terbaik, apa pun orang kata, terpulanglah pada mereka asalkan kita tahu kemampuan kita. Alhamdulillah. Awal-awal dulu, saya pun ambil masa juga nak selesakan diri di set dan watak. Bila dah setiap hari berada di set dan dibantu oleh penolong pengarah dan barisan pelakon lain termasuk pasangan saya dalam drama, Redza Rosli yang sangat memberi, segalanya menjadi. Saya sekarang pun dah semakin selesa untuk menjayakan babak-babak berat.

Adakah terdetik rasa di hati terbalas juga dendam Rose buat para netizen yang pernah mengecam sebelum ini?
Tak adalah sampai begitu. Tak ada dendam pun. Tapi ia macam lebih kepada perasaan puas hati kerana saya dapat buktikan yang diri ini bukan macam apa yang orang kata itu. Saya boleh saya berlakon sebenarnya. Cuma saya perlukan satu anjakan. Secara peribadi, saya rasa apa yang orang kritik sebelum ini memberikan satu anjakan buat saya dan juga semangat untuk buat lebih baik.

Membuktikan Rose memang ada bakat dan bukan bersandar pada wajah cantik semata, bersedia tak untuk ke fasa seterusnya dalam membina kerjaya ini? Maksudnya meneroka watak lain yang lebih mencabar misalnya?
Saya rasa apa pun, lepas drama ini, saya rasa Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan teruskan menyambung kerjaya dalam industri lakonan. Tapi saya tahu, kena pastikan bersedia betul-betul sebelum masuk set dan tahu watak itu. Untuk drama ini kan saya macam terjah masuk saja. Tak ada pengalaman, tak belajar apa-apa dulu sebelum masuk set. Yang saya banyak belajar adalah di set ini.

Setuju tak setiap pelakon itu tentu bermula daripada bawah dan seharusnya diberikan peluang sebelum dinilai ada bakat atau tidak?
Betul. Itu saya setuju. Setiap orang bermula dari bawah dan kesilapan itu biasalah. Kalau tak belajar daripada kesilapan bagaimana bukan? Untungnya saya sedang menjalani penggambaran sambil drama ini sedang ditayang. Jadi, dalam sela waktu, saya boleh tengok dan teliti semula di mana kesilapan dan kelemahan supaya dapat diperbaiki. Orang kena bagi peluang buat mana-mana orang baru yang masuk industri ini. Beri peluang mereka buat kesilapan nanti dia akan belajar. Saya bercakap ini dari posisi orang yang pernah melalui situasi itu.

Adakah ini membuatkan Rose bimbang akan ada jangkaan tinggi lagi pada awak sebagai seorang pelakon selepas ini?
Risau jugalah. Tapi saya rasa lain orang lain pandangan. Asalkan kita buat yang terbaik itu sudah memadai. Orang akan tetap menilai dan mengkritik, Tak mengapa, itu proses dalam hidup. Tak akanlah saya nak berpatah balik ke belakang. Setiap orang pasti akan berubah menjadi yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Pernah rasa murung tak bila dihakimi dan dikritik?
Saya sudah melalui proses dikecam sebelum saya masuk industri lakonan lagi, masa jadi pempengaruh media sosial termasuklah yang melibatkan hal peribadi. Saya rasa itu lumrah bila kita sudah dikenali orang. Salah sikit pun akan jadi besar.Memang ada rasa sedih itu tapi saya percaya biasanya, bila kita susah atau sedih, Allah SWT akan bagi sesuatu yang lebih baik. Sabar sahaja.Kuatkan semangat.
Kalau boleh saya tak nak tengok apa yang orang kecam itu. Kalau tengok pun, sekadar jadikan ia sebagai pembakar semangat dan kemudian teruskan fokus serta pandang ke hadapan. Apa pun, kita sebagai individu kena berkembang dalam setiap fasa yang dilalui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya