Ben Ali dan Nadiyah Shahab bangga masuk 'mall' - Utusan Malaysia

Ben Ali dan Nadiyah Shahab bangga masuk ‘mall’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun beroperasi secara atas talian, jenama popular tempatan Absolut Chocolat milik pasangan pelakon Ben Ali dan Nadiyah Shahab kini mengorak langkah menerusi pembukaan cawangan stor fizikal pertamanya di pusat beli belah terkemuka, Mid Valley Megamall.

Kios berkenaan di bawah tapak bernombor LGC-18 itu menjadi bukti kelangsungan jenama yang dimiliki anak tempatan berbangsa Melayu dalam bersaing secara sihat dan berdiri sebaris dengan jenama besar lain di pasar raya terkemuka negara.

Menurut Ben yang juga Pengarah Urusan Absolute Chocolat, dia memasang hajat untuk memasuki pasaran ‘offline’ dengan menyasarkan kesemua pasar raya terkemuka sekitar Lembah Klang.

“Sektor ‘offline’ terutamanya di dalam pasar raya mega ini didominasi oleh bangsa lain selain Melayu. Lantas ia menjadikan faktor ini sebagai satu cabaran dan batu loncatan kepada kami untuk terus maju kehadapan melalui visi dan misi yang diperjuangkan.

“Walaupun laluan itu tidak mudah bagi sebuah jenama yang dikira masih baru untuk pasaran offline seperti kami, saya tetap optimis. Usaha ini juga sebagai langkah permulaan bagi kami untuk membawa nama Absolut Chocolat tidak hanya di Malaysia, bahkan di serata dunia,” katanya.

Tambah Ben atau nama penuhnya, Nur Ali Nadzwan, jenama yang baru menerima pengiktirafan oleh Superbrand International dengan menjadi salah satu jenama yang membawa gelaran ‘Superbrand’ di Malaysia itu juga cuba melawan arus.

“Antara sebab lain kenapa kami melebarkan cabang perniagaan ke sektor ini selepas melihat kesan pandemik COVID-19 yang menggegar dunia. Khususnya kepada peniaga offline yang paling terkesan dan terpaksa menutup kedai selama berbulan bulan kerana terpaksa akur dengan arahan pihak berkuasa.

“Di saat banyak perniagaan offline mahu bertukar ke online, kami pula mengambil langkah sebaliknya. Usaha itu juga sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya apa-apa berlaku pada dunia dalam talian. Sekurang kurangnya kami mempunyai sandaran perniagaan offline juga. “Siapa pun tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti, dunia perlu menutup operasi ekonomi secara menyeluruh,” katanya.

Selain itu, menurut Ben usaha menembusi pasaran luar talian dengan memilih lokasi pertama pusat beli belah itu turut didorongi pelbagai faktor termasuk mahu ia diterima semua lapisan masyarakat.

“Salah satunya, kerana pusat beli belah itu memiliki faktor demografik yang lebih seimbang. Selama ini 85 peratus daripada pelanggan kami di kalangan orang berbangsa Melayu. Namun kami percaya bahawa perniagaan berasaskan makanan dan minuman (F&B) ini untuk semua kaum.

“Jadi kami memilih pusat belah itu juga kerana 50 peratus pengunjungnya di kalangan kaum Cina. Lucunya menerusi bancian kami lakukan selepas dua minggu beroperasi di situ, ramai menyangka jenama kami dari Korea. Malah rata rata terutama pelanggan berbangsa Cina tidak pernah mendengar jenama kami,” katanya.

Sementara itu, Nadiyah sebagai Ketua Pengarah Eksekutif pula berkata empat lagi kios fizikal di pusat beli lain sedang dirancang kemasukannya dalam tahun ini.

“Apabila mula memasuki Mid Valley, kami mula mendapat pelawaan daripada beberapa pusat beli belah utama lain.

“Seiring dengan apa yang dirancang, kami akan membuka empat lagi cawangan kios di Pavilion KL, Sunway Pyramid, IOI Mall Putrajaya dan Sunway Velocity bermula dari Oktober sehingga Disember 2021.

“Dan kami dijangka akan membuka lima cawangan kios lagi juga di Lembah Klang sebelum April tahun depan. Ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 10 cawangan bagi suku pertama 2022,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya