TIDAK dinafikan, manfaat dan pengaruh media sosial itu terlalu besar sehingga kewujudannya mampu merubah corak kehidupan masyarakat dunia.
Namun, kita juga tidak mampu menidakkan, di sebalik kerancakkan penggunaan media sosial, wujud aktiviti-aktiviti penipuan didalangi individu-individu tertentu yang memanipulasi platform berkenaan untuk menjerat, menganiaya, menjatuhkan pihak lain demi kepentingan sendiri.
Lebih parah lagi, apabila individu-individu tidak bertanggungjawab ini menyalah guna identiti orang lain untuk menutup identiti sendiri.
Ramai yang menjadi mangsa adalah dalam kalangan artis dan selebriti yang akhirnya terpaksa menanggung malu akibat kejahatan si penipu online.
Team Hangat Seminggu kali ini membawakan kisah menarik rakan artis yang sebelum ini pernah menjadi mangsa penyamaran si penipu online untuk perkongsian rakan pembaca sekalian.
Kesempatan dan ugutan demi wang – Didie Alias
Pernah terpalit dengan kes Instagramnya digodam sekitar April lalu,pelakon dan selebriti serba boleh, Didie Alias, 50, tidak menolak bahawa artis mudah menjadi sasaran pihak tertentu dalam perkara ini kerana status mereka itu sendiri.
Penggodam itu biasanya mempunyai khayalan bahawa golongan artis ini mudah menjadi mangsa kerana mereka dianggap kaya dan berharta.
“Biasanya, artis dan selebriti akan meletakkan status mereka sebagai figura awam dalam akaun Instagram dan ia boleh dilihat pada bahagian profil. Saya percaya, penggodam dan scammer akan menjadikan ini sasaran dan menyangkakan artis ini biasanya kaya dan ada duit.
“Jadi mereka ambil kesempatan untuk mengugut dan minta duit dengan jumlah besar pada mangsa sebab biasanya, artis zaman sekarang secara tidak langsung bergantung juga kepada penggunaan media sosial untuk urusan kerja.
“Jadi mahu atau tidak, tentu artis terbabit mahukan semula akaunnya sebab kepentingan kerja itu. Tapi di sinilah bahayanya. Kalau termakan dengan ugutan tersebut, kitalah yang rugi dan melayang duit sia-sia,”katanya.
Kata Didie, jika berlaku dan dilakukan oleh orang tempatan, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pasti dapat mengesan individu tersebut namun keadaan agak sukar jika membabitkan pihak luar.
“Kalau dari negara luar, susah sikit nak kesan. Tak semua boleh bantu dan macam kes saya tempoh hari, nasib baik dapat semula akaun itu.
“Ada satu lagi kes, jenis yang cipta akaun palsu dan menyamar jadi artis pula. Ini pun satu perkara yang harus diambil berat kerana bimbang ada tergamak menggunakannya juga untuk mendapatkan duit dengan teknik penyamaran,”katanya.
Saya tiada akaun di Tinder – Elly Arifin serik jadi mangsa penyamaran
Pengalaman menjadi mangsa penyamaran akaun palsu di aplikasi Tinder awal tahun ini membuatkan pengacara dan pelakon, Elly Arifin, 31, serik dan lebih berhati-hati berkongsi kandungan dalam media sosial.
Bekas pengacara rancangan HLive! ini berkata, dia tidak faham mengapa ada individu yang tergamak menyamar menjadi dirinya dalam media sosial dan melakukan perkara yang boleh menjatuhkan maruah serta imejnya.
“Semuanya sampai ke pengetahuan saya apabila ada individu yang menghantar mesej di Instagram meluahkan keinginan untuk berkenalan setelah melihat akaun tersebut di Tinder.
“Saya terkejut kerana tidak pernah memiliki akaun dalam laman itu. Jadi ketika itu saya keliru dan menganggap mungkin perkara biasa.
“Kemudian situasi menjadi cemas apabila pengurus menghubungi saya dan bertanyakan perkara yang sama. Dan setelah pengurus berkongsi tangkap layar akaun berkenaan, barulah saya faham kenapa ramai yang menghubungi saya sebelum itu. Penyamar terang-terangan menggunakan gambar saya,” katanya.
Bercerita lanjut, Elly berkata, dia mulai risau apabila mengetahui bukan sahaja wujud akaun palsu, malah penggunanya juga dikesan telah menghantar mesej kepada beberapa pengguna Tinder lain.
“Saya khuatir kalau individu tersebut menghantar mesej yang bukan-bukan gambar lucah dan sebagainya.
“Daripada cara mesej itu ditulis jelas menggambarkan niat pengguna itu yang ingin berfoya-foya. Saya tidak mahu orang menyangka itu adalah saya,” katanya yang lebih risau jika pengguna akaun tersebut melakukan penipuan atau meminta wang daripada orang ramai.
Muhasabahlah diri di kala orang sekeliling dalam kesusahan – Ika Nabella
Pelakon terkenal, Ika Nabella turut mendapat tempias apabila ada individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan namanya untuk memperdaya pengikut di Instagram bagi memberi sebuah telefon pintar, IPhone 12 Pro Max, baru-baru ini.
Berkata kepada Pancaindera, dia memaklumkan ini adalah kali pertama namanya terbabit dengan scammer.
“Saya faham semua orang kini berjuang dengan banyak perkara yang sukar seperti kewangan dan emosi. Mungkin salah satu sumber yang mereka boleh menjana pendapatan melalui cara ini.
“Bagaimanapun, segala perkara yang kita buat, macam mana susah sekali pun, sudah semestinya nak cari keberkatan. Tetapi, paling menyedihkan, yang menggunakan nama saya itu orang Melayu kita.
“Takkanlah sampai ke tahap ini, ramai lagi yang mengalami kesusahan malah golongan kaya pun kini banyak terkesan, mereka juga berusaha mendapat rezeki halal,”katanya.
Tegas pelakon filem Tanda Putera itu, semua pihak seharusnya memahami situasi yang dialami masyarakat, bukan menambahkan lagi beban mereka.
“Ramai yang susah, hang sibuk lagi nak menambah beban orang lain pula. Saya pun pakai telefon ‘cikai’ sahaja, tidak mungkin nak beri orang telefon mahal itu. Bagi saya, individu yang tidak bertanggungjawab ini kita sedia maklum memang motif menipu. Jadi, muhasabahlah diri di kala orang sekeliling sedang dalam kesusahan,” katanya lagi.
Johan Asari kesal tidak kemaskini kata laluan
Akaun media sosial digodam bukanlah perkara baru. Bahkan artis seperti pelakon Johan Asa’ri juga pernah kehilangan akaun Instagram pada Jun 2019.
Bagi segelintir selebriti mungkin akan panik. Tapi bagi pelakon popular menerusi drama Juvana ini hanya mendiamkan diri.
“Pada mulanya saya tidak perasan pautan di profil Instagram sebenarnya sudah tidak padan dengan akaun Facebook, tetapi saya biarkan saja.
“Iyalah, saya fikir boleh berusaha sendiri untuk buang pautan tersebut. Namun saya gagal dan lesap lebih 240,000 pengikut,” ujarnya.
Jelasnya, dia mula sedar akaun berkenaan sudah digodam dan dihapuskan selepas dua bulan kerana gagal membuat kemaskini walaupun sudah dimaklumkan oleh pihak Instagram.
“Langsung tiada bayang, mungkin dinyah aktif buat sementara waktu dan dijual di kemudian hari. IG ada mesej bagi tujuan kemaskini akaun, malangnya lambat selesaikan masalah tersebut.
“Bila tekan pautan itu, terus dibawa kepada FB orang lain. Waktu itu saya fikir tiada masalah yang akan berlaku.
“Saya ada mesej si fulan berkenaan (pada IG asal) tapi tidak dibalas. Mungkin dalam masa dua bulan itulah si fulan cuba menggodam akaun, akhirnya dia berjaya,” jelasnya.
Kesal dengan sikap acuh tak acuh, Johan berharap semoga pengalamannya menjadi pengajaran buat kalangan artis dan selebriti.
“Sentiasa berhati-hati dan segera mengambil tindakan sekiranya berlaku sesuatu yang pelik pada akaun media sosial anda. Sentiasa tukar kata laluan!
“Seandainya akaun sudah digodam segera laporkan kepada pihak berkuasa dan SKMM, dikhuatiri akaun akan disalah guna.
“Nasib saya agak sedikit baik sebab penggodam itu mungkin bertujuan mahu menjual saja berbanding tujuan tidak sepatutnya atas nama Johan,” akhirinya.