Bukan mudah mencari insan jujur dalam berkarya apatah lagi jika produk yang dikeluarkan bersifat komersial untuk menjana keuntungan berbanding kepuasan. Namun ia berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh penerbit dan penyanyi anak kelahiran Melaka ini. Apa yang dihasilkan adalah mengikut citarasa hati dan nuraninya.
‘Rabak… Sukatikaulah’ adalah gambaran tepat tentang identiti sosok ini. Album solo yang pernah diterbitkan pada tahun 2000 lalu menceritakan warna yang terbuku di kalbunya. Walau ada yang melihat rilisan ini seakan melawan arus, namun baginya itulah seni yang harus diterjemahkan.
Bersama Khabar Legenda, penyanyi yang pernah menempa zaman kegemilangan bersama kumpulan Black Rose di era 90-an dahulu, Md. Zain Jais, 53, atau lebih dikenali dengan panggilan Ajin berkongsi perkembangan terkininya dalam memperjuangkan muzik tanpa sempadan.
“Saya masih sibuk dengan kerja-kerja seni terutamanya menyusun lagu-lagu baru untuk rilisan akan datang. Buat masa ini sudah ada lebih kurang 15 lagu, termasuk yang ada dalam simpanan sejak 1992 lagi. Banyak khazanah lama yang saya ‘korek’ kembali’. Lagu-lagu ini semuanya masih fresh dan tidak pernah diperdengarkan lagi.
“Bila fokus tentang produk pastinya kena perhalusi sebaik mungkin, terutamanya berkaitan kualiti. Saya cadang nak release double CD, kerana ia lebih memberi kepuasan. Dari segi promosi mungkin saya akan lebih tumpukan kepada pengikut-pengikut dalam media sosial. Yang penting saya nak siapkan dulu dan baru fikir bagaimana nak jual. Konsep saya mudah, asal tak rugi sudahlah,” katanya di awal perbualan.
Menjenamakan semula karya buat peminat, dia bangkit mendukung identiti baharu. Hari ini dia bangkit dengan jenama Ajinrabak, melalui watak yang dilihat sesuai dan dekat dengan jiwanya.

Rilisan Rabak… Sukatikaulah yang diterbitkan pada tahun 2000 dilihat berjaya mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik tempatan.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Penantian ini berkata, idea untuk menerbitkan semula album solo ini tercetus hasil permintaan dan maklum balas peminatnya yang inginkan dia muncul kembali dengan karya terbaharu.
“Nama Ajinrabak ini saya sudah gunakan pada 1994 lagi sewaktu ingin menerbitkan majalah yang berkonsepkan pelbagai segmen, antaranya muzik underground, komik serta pelbagai info terkini.
“Ramai yang menyumbang karya ketika itu, termasuklah rakan-rakan dalam bidang profesional seperti doktor, peguam, pensyarah dan sebagainya. Tetapi disebabkan terdapat beberapa masalah teknikal, akhirnya tertangguh walaupun sudah mempunyai permit,” katanya.
Jenama ‘Ajinrabak’ seterusnya diterjemahkan ke material penghasilan album. Lantas dia membongkar seni yang terpendam terutamanya berkaitan kehidupan yang berlatarkan kenangan pahit dan manis sewaktu memperjuangkan muzik ‘kepala sendiri’ di Blackareachamber studio, Brickfields, Kuala Lumpur.
Tambahnya, setiap rilisan yang dihasilkan adalah karya jujur yang datang dari jiwa dan roh tanpa campurtangan pihak luar. Setiap yang dipersembahkan adalah jalan cerita kehidupan yang dilaluinya selama ini.
“Mungkin saya akan lengkapkan karya ini sebelum hujung tahun dan dipasarkan pada awal tahun depan. Biar lambat janji sempurna. Dalam berkarya kita tidak boleh buat sekadar melepaskan batuk di tangga.
“Saya selesa bekerja sendiri. Walau ada rakan-rakan yang membantu tetapi adakalanya penglibatan mereka agak terhad kerana kekangan masa dan komitmen lain. Oleh itu, saya tidak menekankan pemuzik kekal dalam penghasilan karya ini. Kawan-kawan saya ‘bersepah’ sana sini. Kalau beritahu saja ada projek baru nak buat, confirm ramai yang datang bantu,” katanya.
Tidak meletakkan genre tepat untuk karyanya, dia sekadar melakukan apa yang terbuku di jiwanya. Seni itu terlalu indah untuk dihadkan termasuklah yang tersirat mahupun tersurat. ‘Rabak’ itu sendiri memberi pengertian luas iaitu semangat dan rasa percaya diri yang radikal dan ekstrem.
“Berkarya cara sendiri adalah kepuasan paling maksimum dalam hidup. Walaupun karya itu tiada had dan sempadan, namun jika dihasilkan ia merupakan kepuasan tanpa batasan.
“Sebab itu, saya tidak meletakkan genre tetap bagi setiap karya. Saya ikut apa yang ada dalam kepala. Semua dicampur adukkan. Blues, country, pop, keroncong, janji ada kesempurnaan,” katanya.
Tiada memori bersama Black Rose
Walaupun pernah mengukir nama bersama Black Rose yang pernah popular di era 90-an, dia akui itu bukanlah pentasnya mengecap kebanggaan mahupun mencipta glamor. Tidak berselindung menjelaskan bersama Black Rose dia hanyalah penghibur bersifat ‘bidan terjun’.
“Pada mulanya saya berjumpa dengan seorang rakan di Pertama Kompleks, ketika itulah dia beritahu yang salah seorang rakannya ‘berkenan’ untuk melamar saya sebagai penyanyi bagi satu kumpulan yang bakal menerbitkan sebuah album.

“Waktu itu muda lagi, bila dapat tawaran macam tu memang rasa seronok lagi pun saya fikir mesti akan dapat income lebih, Jadi saya pun pergilah audition. Waktu itu memang ramai yang datang, kalau tak silap hampir 100 orang juga,” katanya.
Tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang penyanyi kerana selama ini bakatnya lebih terserlah bermain dram. Namun tiada alasan untuknya menolak rezeki walaupun ketika itu sudah selesa dengan kerjaya di sebuah syarikat pengiklanan.
Dia keliru dengan perjalanan seni Black Rose yang dilihat mudah tanpa sebarang perbincangan setiap anggota. Katanya, kumpulan ini lebih bersifat ‘menjual muka’ demi melariskan album. Dia sendiri tidak melihat sebarang karya yang dihasilkan kerana semuanya telah tersedia.
“Lagi parah bila saya dapat tahu lagu-lagu yang ada dalam album bukanlah hasil kreativiti anggota kumpulan. Saya pula datang untuk rakam suara ketika lagu-lagunya sudah tersedia. Bila tahu macam itu saya frust. Itu sudah cukup merosakkan kumpulan tersebut.
“Bila tubuhkan kumpulan kita mesti sama-sama berbincang untuk buat lagu, susun muzik dan sebagainya. Tetapi bersama Black Rose cukup berbeza. Perkara tersebut tidak pernah berlaku,” katanya.
Cuba untuk dapatkan keserasian bersama Black Rose, namun tidak berjaya. Baginya kumpulan itu masih belum ‘sampai’ untuk dilabelkan sebagai pemuzik, malah jauh sekali bergelar artis. Amat berbeza jika dibandingkan dengan kerjayanya sebelum itu yang pernah bergelar pemuzik di pentas kelab malam ternama di ibu kota.
“Bagaimanapun, saya tidak salahkan anggota lain. Mungkin itu yang dimahukan oleh syarikat rakaman. Sekadar jual muka dan lagu. Saya cuba untuk dapatkan chemistry bersama kumpulan ini tetapi tidak boleh.
“Jadi saya angkat kaki. Sebab itu bila ada yang bertanya saya akan jawab jujur. Saya memang tak sembunyi atau malu cerita apa yang berlaku.
“Selepas tinggalkan kumpulan pun saya tidak pernah berhubung dengan mereka. Jujur saya katakan kami hanya berkawan ketika bersama Black Rose. Selepas itu, masing-masing bawa haluan sendiri,” katanya mengakhiri perbualan.










