Saya menangis...kalau ingat memori lalu - Nor Albaniah Raffie - Utusan Malaysia

Saya menangis…kalau ingat memori lalu – Nor Albaniah Raffie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Namanya mungkin kurang dikenali golongan baru hari ini, namun figura cantik ini pernah mendominasi dunia hiburan tanah air satu ketika dahulu. Kelibatnya sering menjadi perhatian apatah lagi sekitar era 90-an.

Menyingkap kehidupan peribadi, insan bernama Nor Albaniah Raffie ini, pernah mendirikan rumah tangga bersama pelumba kereta terkenal, Allahyarham Sudarman Daud pada 1994. Namun, jodohnya tidak panjang apabila suaminya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Bukit Antarabangsa pada 11 Jun 1996.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.30 pagi itu, kereta dipandu arwah Sudarman terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik beberapa kali. Nor Albaniah turut mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa melupakan seketika bidang seni yang diceburinya ketika itu.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Syarra, yang kini sudah berusia 27 tahun. Sejak itu, dia tidak pernah berkahwin lain dan hanya menumpukan kehidupan membesarkan anak tunggalnya.

Bersama Khabar Legenda, pelakon popular filem Main-Main Hantu, anak kelahiran Ulu Kinta, Perak ini berkongsi cerita tentang kehidupan terkininya.

“Walaupun tidak popular seperti orang lain, saya masih aktif berlakon lagi. Tawaran masih ada, tetapi tidaklah macam artis lain yang sentiasa back to back dan menjadi rebutan produser. Cuma saya kurang dikenali kerana tiada gossip atau kontroversi.

“Lagipun saya memang diajar untuk tidak berasa popular. Biarlah orang lain popularkan kita. Saya jenis yang suka privasi, tidak suka berkongsi atau promosikan kisah hidup seharian dalam media sosial kerana ada ketikanya perkara sebegitu boleh menjatuhkan diri dan reputasi,” jelasnya di awal bicara.

Akui cabaran serta persaingan hari ini cukup sengit, dia menganggap setiap tawaran yang hadir adalah rezeki buatnya. Tidak menolak atau memilih apa yang ditawarkan kerana percaya industri hari ini cukup berbeza dengan dahulu, waima nama pernah di puncak satu ketika dahulu.

“Saya serius dalam lakonan dan tidak pernah anggap bidang ini sebagai tempat mengisi masa lapang. Ini mata pencarian saya. Memang adakalanya orang lupa dengan saya kerana saya bukan jenis havoc dan popular dalam media sosial, jadi orang terlupa kewujudan saya.

“Jadi walaupun saya dapat offer berlakon watak sebagai emak ke, mak cik ke saya tetap terima. Kena terima hakikat usia kita bukannya muda dan ini bukan zaman kita lagi. Jadi apa yang datang itu kita bersyukur sahajalah,” katanya.

Walau dilihat versatil, dia akui pemikirannya sedikit kolot terutama dalam melalui kehidupan seharian. Tidak suka bernostalgia atau mengimbau kenangan lalu terutamanya melibatkan isu-isu sensitif yang boleh menjentik perasaan dan nuraninya.

Ada sebab kenapa tidak mudah berkongsi kehidupan lampau terutamanya melibatkan kenangan bersama arwah suami kerana menurutnya apa yang dicoretkan mampu menghancur dan memudaratkan dirinya sendiri.

“Kalau ingin kenang kisah lalu, biarlah saya kenang sendirian tanpa kongsikan dengan orang lain. Perit dan pedihnya hanya saya rasa. Saya tak suka hendak raih simpati atau berkongsi nostalgia dengan orang lain. Jika ada pun hanya sesekali sebagai tanda ingatan.

“Kalau sentiasa ungkit memori lalu, saya akan menangis. Saya kena kawal. Sama juga seperti sambutan Hari Ibu. Ada yang bertanya kenapa saya tidak pernah muat naik sebarang ucapan, jawapan saya mudah. Ibu meninggal dunia ketika saya berusia satu tahun. Saya tidak pernah ada momen itu seperti orang lain,” jelasnya.

Walaupun sempat melayari kehidupan rumah tangga selama dua tahun, baginya arwah suami merupakan insan yang cukup istimewa dan dekat di hati. Dia bukan sahaja banyak mengajar erti kehidupan, malah individu yang sentiasa menyokong kariernya dahulu.

“Saya ini nampak sahaja vogue, tapi penakut. Arwah suamilah yang sentiasa beri semangat dan dorongan untuk kembangkan karier terutamanya dalam bidang lakonan dan modelling satu ketika dahulu. Dia adalah supporter utama!

“Ketika dapat tawaran berlakon di Indonesia bersama aktor, Rano Karno, saya takut untuk terima, tetapi dia bersungguh minta saya pergi, sama juga ketika saya masuk Pertandingan Miss Malaysia (All Nation) pada 1991. Rasanya kalau tiada sokongannya, mungkin saya tidak boleh jadi seperti hari ini.

“Bila arwah tiada, saya berdikari dan ambil alih tugasnya. Selain besarkan anak, saya terpaksa buat kerja orang lelaki. Kereta rosak saya bawa ke bengkel dan serba-serbi lain saya uruskan. Pendek kata selepas hidup sebatang kara semua kerja saya buat sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN