Saya bukan sombong atau... - Rahim Maarof - Utusan Malaysia

Saya bukan sombong atau… – Rahim Maarof

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dia sudah merentas pelbagai revolusi dalam karier sebagai penghibur. Seawal era 70-an hinggalah ke hari ini. Sebaik tamat persekolahan minatnya dalam bidang seni tidak boleh dikekang lagi, lantaran bersama rakan sealiran dia menubuhkan kumpulan yang diberi nama Meets, sebelum menyertai kumpulan Friends yang banyak terlibat membuat persembahan di majlis keraian serta kelab-kelab terkenal sekitar ibu kota.

Menjelang era 80-an, ketika menginjak usia 25 tahun, cita-citanya menjadi artis rakaman terlaksana apabila komposer terkenal, Ben Supranto memberinya peluang merakamkan album pertama bertajuk, Kini Aku Sendiri. Naskah tersebut menjadi pemangkin kariernya. Populariti yang diterima langsung tidak disangka sehinggakan namanya meniti di bibir peminat.

Bersama Mingguan Malaysia, anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan, pemilik nama Abdul Rahim Maarof, 66, atau lebih mesra dengan panggilan Rahim Maarof, berkongsi cerita kehidupan terkini serta perkembangan seninya mutakhir ini.

“Ramai juga rakan wartawan yang hubungi, tanya perkembangan terbaru, namun saya tolak dengan penuh hormat, Bukan saya sombong atau mengelak, tetapi tiada cerita baru untuk dikongsi. Kehidupan yang saya lalui sama seperti orang lain.

“Lagipun zaman pandemik Covid-19 ini ramai penggiat seni terkesan. Walaupun ada kelonggaran, namun masih banyak kekangan. Hendak buat show tak boleh, aktiviti pergerakan juga terhad, perancangan sebelum ini semuanya tergendala, jadi masa banyak terluang itu saya habiskan di rumah sahaja.

“Cuma yang boleh dikongsikan sekarang ini saya sudah dua tahun berhenti merokok. Ini memang perkembangan terbaik buat diri saya, memandangkan sebelum ini saya seorang perokok tegar, sejak usia belasan tahun lagi. Sudah beberapa kali cuba berhenti tapi tak berjaya, tapi kini Alhamdullillah,” katanya di awal bicara.

Pernah dilabel sebagai The Godfather of Rock, penyanyi yang pernah menjulang nama bersama kumpulan rock, White Steel ini akui sudah punya banyak rancangan untuk diisi pada masa hadapan namun perlu diperhalusi lebih mendalam memandangkan industri muzik hari ini amat berbeza dari sebelumnya.

Akui waktu rehat panjang ketika ini adalah tempoh terbaik buat dirinya mengkaji apa yang perlu dihadiahkan buat peminat pada masa hadapan.

“Perancangan Allah SWT itu hebat. Apa yang terjadi hari ini mungkin ada hikmah di sebaliknya. Ikutkan sebelum ini saya memang ada rancangan hendak buat projek seni bersama rakan artis, Man Bai, selain cadangan untuk terbitkan album baru,” jelasnya.

Menurut pelantun lagu Cinta Kristal ini, trend artis senior menjalinkan kolobrasi dengan artis baharu bukanlah perkara memalukan atau menjatuhkan imej. Tidak menolak untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka malah menganggap idea itu mampu memberi impak serta berkongsi rencah dan resipi bagi menarik minat pendengar hari ini.

“Tidak wujud darjat atau kasta dalam muzik sebenarnya. Kena akur dengan peredaran zaman. Kita tidak boleh khayal dan dibuai populariti lampau. Ini waktu peminat generasi baru. Sebagai penghibur kita perlu bijak ambil peluang. Tiada istilah siapa tumpang populariti siapa.

“Nak jadi penghibur yang relevan perlu ada sikap rajin dan usaha. Nak jadi bagus bukan senang, Suara sedap tetapi jika tiada usaha keras takkan mampu pergi jauh. Semua kena seiring,” katanya.

Akui puas dengan apa yang dilaluinya setelah hampir 40 tahun dalam industri, penyanyi versatil ini melahirkan rasa bangganya apabila berpeluang merasai serta meneroka pelbagai genre muzik dalam setiap naskah rilisannya termasuklah pop, dangdut, balada, rock dan pelbagai lagi.

Tidak meletakkan bidang seni yang merupakan periuk nasinya selama ini sekadar hobi atau tempelan semata, maka dia lebih bersifat terbuka dalam berbicara soal kerjaya berbanding peribadi.

“Memang sebelum ini ada yang bertanya, saya ni lebih ke arah genre muzik apa sebenarnya, maklumlah rilisan saya ada pelbagai. Jawapan saya mudah, untuk jadi seorang penghibur luar biasa perlu versatil. Saya ambil contoh Roonie James Dio. Mungkin ada yang kenal dia sebagai penyanyi rock selepas menyertai Dio atau Black Sabbath, tetapi cuba kaji dan selidik siapa dia sebelum itu. Dia meneroka bidang muzik itu seluasnya sebelum mencari tapak yang sesuai untuk membentuk jiwa dan identitinya.

“Saya juga melalui zaman yang panjang sebagai penghibur. Saya bukan mengangkatnya sebagai mentor, tetapi dia salah seorang penyanyi yang saya minati,” tambah Rahim.

Tidak menyembunyikan rasa sedih taktala menyambut kedatangan Ramadan dalam norma baharu yang belum bernoktah, dia berharap orang ramai sama-sama berdoa agar keadaan kembali pulih seperti biasa.

“Dua tahun berturut-turut kita hadapi keadaan ini. Berpuasa dan berhari raya dalam keadaan yang tidak pernah dijangkakan seperti ini. Saya tumpang sedih dan simpati kepada mereka yang berada di perantauan dan tidak dapat pulang dan menyambut hari raya bersama mak ayah dan keluarga di kampung. Sama-samalah kita berdoa agar pandemik ini berakhir dan kita dapat jalani rutin harian seperti biasa.

“Di kesempatan ini juga tidak terlewat untuk saya merakamkan salam takziah kepada rakan-rakan dan seluruh rakyat negara jiran Republik Indonesia, khususnya ahli keluarga mangsa tragedi Kapal Selam KRI Nanggala yang karam baru-baru ini.

“Semoga ahli keluaraga mereka sentiasa tabah dengan ketentuan Ilahi. Bersama-samalah kita berdoa agar roh mereka ditempatkan bersama golongan orang yang beriman.” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×