Mana duit aku? - Nomad - Utusan Malaysia

Mana duit aku? – Nomad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIAT untuk bergelar seorang pemilik kafe akhirnya musnah begitu sahaja. Bukan sahaja ditipu puluhan ribu oleh rakan baiknya sendiri, ketika ini juga Nomad serik untuk mempercayai mana-mana pihak lagi.

Mengakui lebih berhati-hati kini, kata Nomad, walaupun kejadian itu sudah setahun berlalu, dia sentiasa meletakkan harapan agar wang hasil titik peluhnya itu dapat dikembalikan semula.

Boleh cerita kronologi kejadian, sehingga ditipu puluhan ribu ringgit?
Pada mulanya saya dan rakan saya ini merancang untuk membuka sebuah kafe. Lokasi dan kedai juga sudah ada. Memang tidak ada apa yang mencurigakan, sebab kami juga sudah kenal dalam tempoh agak lama, jadi tidak terdetik langsung soal kena tipu dan sebagainya.
Bagaimanpun bila sudah berbulan-bulan kafe asyik tertangguh pembukaannya saya dapat rasa ada yang tidak kena dan sehingga kini saya masih menunggu dia pulangkan wang saya.

Pengalaman kali pertama ditipu?
Kalau dalam perniagaan sebenarnya sudah empat kali (ketawa). Cuma kali ini paling banyak. Selain wang untuk beli kelengkapan kafe, saya juga sudah bayar sewa kedai yang sepatutnya dibuka sejak tahun lepas. Bukan sewa untuk sebulan tetapi lima bulan. Sebab itu memang ralat sehingga kini.

Tidak buat laporan polis?

Susah sebenarnya, sebab saya masih harapkan dia pulangkan wang itu sahaja. Bukan apa, kita tahu kondisi keadaan keluarga dia. Jadi memang berat untuk ambil tindakan keras. Cuma saya harap dia sedarlah. Sebab sehingga kini saya masih mahu wang saya balik. Itu tiada kompromi.

Selepas kena ‘kapur’ rakan baik sendiri, masih mahu teruskan niat buka kafe?
Ini adalah impian saya sebenarnya untuk memiliki sebuah kafe. Lebih penting konsep saya akan ketengahkan juga agak berbeza sekali gus saya yakin kafe ini akan menjadi pilihan ramai kelak.
Cuma perlu telan kenyataan buat masa ini tidak boleh realisasikan lagi. Namun ini tidak bermakna saya akan lupakan niat saya untuk bergelar seorang pemilik kafe memandangkan saya juga sudah buat beberapa perancangan. Kali ini tiada lagi kerjasama dengan orang luar tetapi keluarga sendiri. Belajar daripada pengalaman.

Ada yang hairan, banyak duit Nomad walaupun hampir lima tahun tidak aktif sebagai penyanyi. Hasil daripada mana?Selama lima tahun tidak aktif itu tidaklah saya goyang kaki sahaja. Memang ada kerja hakiki yang saya lakukan untuk meneruskan hidup. Mungkin orang tidak tahu apa yang saya lakukan sebab tidak berkongsi secara umum. Cumanya kalau mahu kata duit saya semua juga tidaklah. Memang ada yang saya pinjam daripada keluarga juga. Cuma bila pinjam daripada keluarga ini, bayarannya fleksibel selain tiada bunga (ketawa).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×