Cuit kisah raya norma baharu - Utusan Malaysia

Cuit kisah raya norma baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERGABUNG suara menerusi buah tangan istimewa raya tahun ini, Masya Masyitah, Ara Johari, Ernie Zakri, Syamel, Usop dan Ruffedge ada sesuatu yang ingin dikongsikan menerusi naskah lagu berjudul Aidilfitri Lembaran Baru buat semua pendengar.

Menyedari tahun ini merupakan tahun kedua semua rakyat Malaysia meraikan lebaran dalam suasana norma baharu, lagu ciptaan S.Atan dan Siso Kopratasa itu ternyata berupaya mencuit jiwa dan emosi ketika semua mendakap rasa kerinduan terhadap kampung halaman.

Hal itu turut dirasakan oleh pasangan pengantin baharu, Ernie dan Syamel yang mengakui sambutan Aidilfitri kali ini masih dalam semangat yang sama, mengharap semua gundah dan duka pulih segera.

“Sesuai dengan situasi semasa, kami semua berkongsi rasa menerusi naskah lagu ini yang mengisahkan suasana persediaan sambutan lebaran dengan norma baharu.

“Tentu sekali hasratnya adalah untuk menyuntik mood keceriaan dan semangat raya yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya sebelum pandemik melanda.

“Tetapi, walaupun dunia masih diduga dan belum pulih sepenuhnya, tidak bermakna kita tidak boleh bersemangat mengharunginya dalam sebuah lembaran baru. Mana tahu, lagu nyanyian kami ini mampu menyuntik kenangan raya anda semua, pasti nostalgia bukan?” katanya.

Hal yang sama diakui oleh anggota kumpulan Ruffedge, Azan yang melihat pengalaman lalu banyak mengajar selain memberi hikmah tersendiri walaupun perayaan sudah tidak lagi dirasakan meriah seperti dahulu.

“Jangan lupa untuk sentiasa bersyukur walaupun kita semua masih perlu beraya dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekurang-kurangnya, syukurlah kerana kita masih diberikan kesihatan dan mampu beribadah dengan sempurna di bulan Ramadan penuh keberkatan ini,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan, Azan yang mewakili kumpulan turut mengambil langkah bersederhana dalam menyambut hari raya kali ini selain mengelak pembaziran.

“Kalangan kami semua sudah jadi bapa-bapa, jadi persiapan itu keutamaannya lebih terarah pada anak-anak. Walaupun norma baharu, anak-anak tetap mahu menyambut raya dengan meriah. Boleh bersosial, tapi cuma di media sosial sahajalah, jangan pula dari rumah ke rumah,” katanya.

Sementara itu, berkongsi emosi yang sama mengenai sambutan hari raya, penyanyi lagu Halimunan, Masya Masyitah juga ada luahan rasa yang barangkali serupa dengan rata-rata anak perantau yang lain.

Menurut anak jati Kulim, Kedah ini, perkara yang paling memberi kesan padanya sebagai seorang anak adalah apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta apalagi di kala menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Saya sebenarnya sedih tak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga. Namun, hidup perlu diteruskan jua. Bagi mendapatkan mood raya itu, saya beli dan hiaskan rumah dengan kerlipan lampu raya.

“Kalau di kampung, sudah menjadi tradisi kami sekeluarga untuk berbuat begitu,” katanya.

Seperti Masya, penyanyi Usop yang merupakan anak jati Kedah juga meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga.

“Mujurlah ibu ada di sini dan raya kami sambut dalam kesederhanaan sahaja. Walaupun begitu, agak terkilan jugalah kerana tak dapat pulang ke kampung dan menziarahi sanak-saudara di sana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×