Allah kurniakan mereka untuk kutip pahala – Zarina Zainuddin - Utusan Malaysia

Allah kurniakan mereka untuk kutip pahala – Zarina Zainuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIDUP adalah anugerah terindah. Menjalaninya adalah kewajipan. Di sinilah tuntutan agama berperanan bagaimana manusia mengisi kehidupan yang diperolehnya. Adanya sifat reda serta berlapang dada menerima ketentuan ilahi amat dikagumi. Sesungguhnya perancangan Allah SWT itu cukup sempurna buat umatnya.

Memujuk hati mengharungi kehidupan adalah lumrah bagi figura cantik manis ini. Anak kelahiran Parit, Perak ini sentiasa cekal. Baginya manusia diuji dengan pelbagai cara. Lebih berat ujian dihadapi, semakin tinggi keimanan perlu diraih untuk mengharunginya

Bersama Mingguan Malaysia, pemegang watak Maria, drama popular Bidadari Kiriman Tuhan, Zarina Zainuddin, 51, bercerita tentang karier, kehidupan serta perit jerih pengorbanannya dalam membesarkan empat anak yang dua daripadanya menghidap autisme.

“Saya sentiasa berkongsi kehidupan bersama peminat melalui media sosial. Terutamanya melibatkan keluarga dan anak-anak. Umum mengetahui saya dikurniakan empat orang cahaya mata dan dua daripadanya menghidap autisme.

“Saya rasa lebih terbuka bila berkongsi kisah anak-anak kerana saya tahu ada masyarakat yang punyai masalah membesarkan anak autisme seperti saya, jadi ada baiknya jika kami bersama-sama bertukar idea, berkongsi tips serta maklumat untuk kebaikan bersama,” katanya memulakan perbualan.

Zarina yang mendirikan rumah tangga pada 13 Julai 1993, bersama pasangannya, Datuk Raihan, dikurniakan empat cahaya mata iaitu pasangan kembar Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, 26 , serta Muhammad Naim Azraidan, 19, dan Muhammad Adam Azrai, 16 tahun.

Menurutnya, bukan mudah untuk menjaga anak autisme terutamanya apabila dikelilingi masyarakat yang kurang pengetahuan serta pendedahan maklumat mengenai mereka.

Justeru, cabaran yang dilalui ibarat alah bisa tegal biasa terutamanya ketika mereka meniti fasa kedewasaan.

“Memang adakalanya sedih dengan sikap sesetengah individu yang masih tidak memahami situasi yang dilalui oleh anak-anak ini sehinggakan ada yang marah serta memaki bila ada di antara perbuatan mereka di luar jangkaan.

“Jangan hukum mereka. Masyarakat perlu faham dengan keadaan anak istimewa ini. Sebagai ibu yang melahirkan, ada ketikanya hati tersentuh juga dengan sindiran dan layanan masyarakat. Tapi saya sentiasa sabar. Saya perlu kuat dan reda untuk harungi.

“Mungkin saya ada silap selama ini dan Allah kurniakan mereka untuk beri saya kutip pahala mudah,” katanya.

Tidak terkecuali, sebagai seorang ibu pastinya dia ingin melihat anak remaja bebas seperti orang lain. Namun dek kerana keterbatasan dan pergerakan yang sentiasa perlu dikawal menjadikan dia lebih berhati-hati dalam memberi kebebasan bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Menurut Zarina, kedua orang anaknya itu mempunyai kategori berbeza. Razil agak hiperaktif dan sukar dikawal berbanding adiknya, Raizal yang mengalami autisme peringkat sederhana.

“Masing-masing ada karakter sendiri. Namun mereka berkongsi minat sama iaitu suka dengan akhbar. Setiap hari mereka akan beli semua jenis akhbar di kedai. Biasanya si abang akan selak-selak dan tengok gambar sahaja berbanding si adik yang sudah boleh membaca.

“Sebelum ini anak ketiga dan bongsu susah juga nak terima hakikat. Sering mereka tanya saya kenapa lebih utamakan kedua abang berbanding mereka, saya jawab abang tiada sesiapa di dunia ini. Mereka hanya ada ibu sahaja. Alhamdullilah, lama kelamaan mereka faham,” katanya.

Akui sibuk dengan tugas harian sebagai anak seni dan ahli perniagaan, dia bersyukur kerana suami banyak membantu menguruskan anak-anak terutamanya ketika sibuk di lokasi.

Sentiasa memastikan jadual harian terisi dengan kerja berfaedah, dia tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa bersengkang mata terutamanya dalam menyiapkan tempahan perniagaan pulut kuning dan rendang bermula tengah malam hingga ke pagi yang semakin mendapat permintaan ramai.

“Alhamdulillah rezeki murah kebelakangan ini. Selain tawaran berlakon, perniagaan pulut kuning dan rendang juga dapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. Setiap hari (bulan Ramadan) saya akan berkampung di tapak bazar Stadium Shah Alam atau pun Bukit jalil.

“Saya kalau berniaga memang akan berada di lokasi. Saya ingin dekat dengan pelanggan. Mereka sokong kita, jadi adakalanya mereka ingin jumpa dengan kita. Jadikan pelanggan ini seperti rakan kita,” katanya.

“Saya jenis yang tidak boleh duduk diam. Tak suka malas dan buat kerja tak berfaedah. Sebab itu saya sentiasa aktif lakukan pelbagai kerja. Suami juga begitu. Dia adalah pencetus semangat saya. Saya beritahu dengan anak-anak contohi dan warisilah sifat ayah mereka,” katanya.

Dilabel sebagai pelakon yang laris dan serba boleh, dia tidak pernah menganggap pujian itu sebagai tiket untuknya demand mahupun meninggi diri. Menerima tawaran dengan tangan terbuka, Zarina akui lebih selesa membawakan watak yang dekat dengan diri dan kehidupan.

“Saya lebih berminat membawakan watak orang kampung, orang susah atau wanita yang teraniaya. Bagi saya watak sebegitu lebih dekat dengan diri selain perlu bermain dengan emosi dalaman.

“Bagaima­napun saya tidak pernah pertikai watak yang diberikan. Biasanya penerbit dan pengarah tahu kemampuan saya. Setiap yang diberi akan saya hayati dan buat sebaik mungkin. Jika satu hari nanti dapat offer watak nenek pun saya ambil, selagi mereka perlukan saya,” katanya.

Walau mengecap bahagia bersama suami dan anak-anak dan tercinta, namun sempena Syawal yang bakal menjelang tiba, ingatannya terlempar jauh ke kampung halaman di Parit, Perak tempatnya membesar satu ketika dahulu.

Akur dengan saranan kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, namun ada ketikanya dia tidak dapat menyembunyikan rasa sedih kerana tidak berpeluang meraikan bersama mereka yang tersayang.

“Ikutkan ini tahun kedua tak dapat pulang beraya di kampung. Hanya panggilan video sahaja mampu mengubat rindu. Saya berharap dan berdoa agar pandemik Covid-19 ini berakhir dan kita semua mampu menjalani rutin harian seperti sediakala,” katanya mengakhiri perbualan.

Antara naskhah lakonannya yang bakal menemui penonton termasuklah drama 20 episod bertajuk, Kekasih Hati Mr. Bodyguard yang ditayangkan bermula 15 Mei di saluran TV3, serta Mega Drama 28 episod bertajuk Ash Dan Aish yang akan ditayangkan melalui saluran Astro Ria.

Zarina juga bakal muncul dalam drama episod bertajuk, Derita Untuk Bahagia, Derhaka Tanggang (Astro), Ustazah Robotik (TV Alhijrah) dan Budak Tebing (TV3).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×