Baru-baru ini, pelakon hebat, Rusdi Ramli meluahkan rasa bengang dengan seorang instafamous yang hanya pandai bermain telefon di set penggambaran dan menyombong dengan barisan pelakon lain.
Rasanya sudah beberapa kali Poklip dengar keluhan yang sama daripada rakan artis. Baik yang muda dan tua. Masing-masing ada pengalaman sendiri dengan golongan instafamous yang tiba-tiba entah dari mana bergelar pelakon.
Poklip tidak ada isu dengan mana-mana instafamous yang berlakon kerana minat dan sentiasa mencuba untuk menimba ilmu. Ada sahaja golongan yang banyak bertanya dan tahu hormat pelakon senior yang ada.
Cuma yang tak tahan adalah mereka yang hanya tahu berlagak dengan jumlah pengikut tetapi bila masuk ke gelanggang lakonan, buat-buat pandai. Tambah pula ada yang menyombong macam dialah paling hebat.
Awak, industri ini bukan untuk yang berangan tau! Ada rupa tapi tak ada bakat pun tak guna. Ada pengikut tetapi kalau berlakon serupa pohon rendang di tepi lebuh raya pun tak guna juga tau.
Lebih baik awak fokus sahaja dengan dunia media sosial itu. Fikir apa tujuan hendak berlakon. Adakah sekadar seronok-seronok atau memang minat. Sebab ramai lagi insan berbakat di luar sana yang menantikan peluang sama.
Teringat Poklip keluhan seniwati hebat yang berkecil hati dengan seorang instafamous. Sudahlah tidak menegur, dia sekadar menjeling umpama seniwati hebat itu sekadar tukang sapu di situ.
Eh hello! Seniwati ini taraf seninya berbeza okay dengan awak. Dia level 72 tahun pun boleh jadi covergirl manakala awak, lambat lagi dik!









