Saya akui memang sama – Haziq - Utusan Malaysia

Saya akui memang sama – Haziq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERNYATA Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang berlangsung tempoh hari bukan sekadar medan pertembungan 12 lagu yang bertanding. Selain persembahan, apa yang turut menjadi perhatian penonton pada malam itu tentunya fesyen yang dikenakan selebriti.

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya pasti ada yang terpalit dengan jenaka lucu warganet berkaitan pakaian. Kali ini pengacara dan penyampai radio Hot FM Haziq Hussni tidak terlepas menjadi ‘bahan’ dalam laman sosial. Cukup positif berkongsi pengalaman. Jujurnya dia juga bersetuju dengan warganet apabila pakaiannya pada malam itu disamakan dengan pekerja katering.

Bila sedar pakaian Haziq pada malam AJL35 menjadi jenaka dalam laman sosial?
Sebenarnya baju itu hasil rekaan pereka fesyen O’oi Couture. Saya memang suka beri kebebasan kepada mereka untuk berkarya. Malah memang ada sesi mencuba pakaian tersebut sebelum saya muncul di atas pentas. Pada mulanya memang tidak ada masalah semuanya nampak okey sebelum ini, tiada apa yang pelik. Saya sendiri memang suka dengan rekaan tersebut kerana nampak lain.

Bila semua orang sudah cakap benda yang sama memang baru saya perasan, memang betul. Bukan sahaja pekerja katering ada juga yang kata macam pengawal sekolah dan lain-lain. Sebab kalau kita lihat dalam laman sosial siap ada gambar yang membuat perbandingan.

Jadi saya pada mulanya memang ketawa sahajalah. Tidak ada terasa hati atau marah dengan apa yang ditularkan warganet. Saya anggap mereka ini cukup kreatif.

Untuk merancakkan lagi kisah ini saya turut memuat naik gambar saya mengenakan pakaian tersebut dalam laman sosial dan mahu berinteraksi dengan pengikut yang melihat ini sebagai sesuatu yang kelakar. Tetapi saya minta izin pereka fesyen baju ini dahulu, dan dia pun benarkan.

Setuju kalau ada yang melihat Haziq sebagai mangsa fesyen?
Saya seorang yang suka mencuba, malah menghormati setiap idea yang dikeluarkan seorang pereka fesyen. Berkenaan baju ini memang kami disediakan seorang pereka dan jurugaya dalam memastikan penampilan kami pada malam itu nampak sesuai.

Jadi keputusan yang dibuat bukan berdasarkan mata saya sahaja. Sebab itu saya kata pada awalnya memang tidak nampak pelik berkenaan baju itu. Cuma untuk mengatakan saya mangsa fesyen itu, tidaklah. Saya masih tahu apa yang sesuai atau tidak.

Bukan Haziq sahaja malah Sherry turut mengalami perkara sama, apa reaksi kamu berdua pada waktu itu?
Memang ketawa sahajalah kami berdua, malah Sherry juga tahu bagaimana bajunya pada malam itu turut dibandingkan dengan plastik sampah.

Ikutkan ini pengalaman bermakna buat saya dan akan menjadi panduan buat diri saya pada masa hadapan. Selepas AJL saya akan turut menjadi pengacara untuk satu lagi konsert tidak lama lagi. Cuma kali ini saya dan pereka sudah berbincang untuk memastikan penglibatan saya dalam pilihan rekaan pakaian.

Bercakap soal karier sebagai penyampai radio kini, apa komen Haziq bila ada penyampai yang tidak sensitif dalam laman sosial?
Pengalaman selama tujuh tahun dalam radio sebenarnya bukan lama mana. Saya juga masih dalam proses pembelajaran. Namun melihat apa yang berlaku ini turut membuatkan saya lebih berhati-hati.
Sebagai penyampai kita akan sentiasa dinilai jadi sebelum mahu berkongsi apa-apa sentiasa ambil masa untuk memahami setiap kesan perkongsian.
Jangan melulu sahaja, macam saya sendiri, isteri adalah orang yang bertanggungjawab memberikan saya nasihat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×