MEMILIKI keyakinan diri yang tinggi memberi peluang buat gadis ini mempertaruhkan bakatnya dalam bidang nyanyian. Malah melalui ruang yang diberikan untuk muncul dalam program Mentor Milenia lima tahun lepas juga sedikit sebanyak membuka laluan untuk dirinya bergelar anak seni kini.
Tidak menggunakan kekurangan yang dimiliki untuk menempatkan diri, bagi Fiena, atau nama sebenarnya Nur Zafiena Anissa Zaini, dia yakin untuk membuktikan apa yang dimilikinya dengan ikhlas.
Selepas empat tahun muncul dengan single pertama berjudul Tuhan Jaga Dia Untukku, kini Fiena kembali berkongsi karya terbaharunya berjudul Folio Cinta
“Melalui lagu Tuhan Jaga Dia Untukku saya berjaya mencipta nama sekali gus dilamar syarikat rakaman Nova Music untuk untuk berada di bawah pengurusan mereka.
“Jujurnya sebagai penyanyi baharu, memang saya terharu melihat sambutan yang diberikan untuk lagu pertama ciptaan saya itu.
”Muncul dengan Folio Cinta pada tahun ini selepas empat tahun menunggu, sebenarnya lagu ini adalah penamat kepada jalan cerita lagu terdahulu,” kongsinya.
Berkongsi mengenai lagu Folio Cinta, Fiena yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan berkata, lagu ini adalah hasil kerjasama bagi projek aplikasi orang buta seluruh dunia TeamTalk.
“Lagu Folio Cinta dihasilkan dua tahun lalu yang mana ia adalah tugasan yang diberikan dalam aplikasi TeamTalk. Aplikasi ini membabitkan orang buta di seluruh dunia.
“Bagi melihat sejauh mana perkembangan kami dalam aplikasi ini, jadi setiap orang diberikan tugasan. Saya memilih untuk menghasilkan lagu. Ketika sedang bersantai dalam bilik, idea datang dan saya terus buat lagu dan lirik.
“Walaupun tempoh seminggu diberikan untuk menyiapkan tugasan ini, tapi saya dapat hasilkan dalam masa sehari saja,” katanya.
Menolak Folio Cinta mengenai pengalaman dirinya atau pihak lain, jelas gadis berusia 22 tahun ini idea tercetus melalui gambaran dirinya sahaja.
“Lagu Folio Cinta ini bersifat keseluruhan. Walaupun ia mengenai kisah pasangan kekasih yang curang dan kemudian ingin kembali kepada teman wanitanya, tapi ia tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak.
“Ini idea saya sendiri. Saya hanya buat berdasarkan apa yang terlintas di fikiran,” jelasnya.
Mengharapkan sokongan peminat di luar sana, jelas Fiena, impian terbesarnya adalah untuk melihat karyanya diterima. Malah ini adalah permulaan untuk dirinya mencipta lebih banyak lagu, sekali gus memberi peluang untuk dia juga bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) suatu hari nanti.
“Kebetulan pihak Nova Music minta lagu baharu. Jadi, saya pun beri dua lagu. Tapi, mereka memilih lagu Folio Cinta ini. Sebab lagu ini seperti kesinambungan lagu pertama saya dulu.
“Alhamdulillah, lagu ini sudah siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2019 dan akan dilancarkan tidak lama lagi. Sudah pasti saya berharap lagu ini akan diterima baik pendengar dan peminat seperti single terdahulu.
“Sama macam penyanyi lain, saya juga berharap lagu Folio Cinta boleh pergi jauh. Kalau pihak Nova Music mahu mencalonkan lagu ini, saya sentiasa bersedia.
“Saya juga tidak sabar mahu mendengar maklum balas daripada peminat. Tentunya saya juga ada impian untuk melihat lagu ini dipertandingkan di pentas AJL, siapa tahu,” katanya positif.










