Bagi yang belum kenal siapa Hariz Fayahet, artikel ini merupakan satu petanda yang anda patut mula mengenali dirinya.
Hariz merupakan seorang penyanyi yang memiliki suara yang merdu bagai buluh perindu. Dia juga juara program Bintang RTM pada 2018, program yang dibuat khas untuk mencungkil bakat-bakat peserta dalam bidang nyanyian.
Namun katanya, orang ramai beranggapan ‘produk’ bintang RTM ini susah untuk ‘naik’ atau membuat orang ramai tahu akan kewujudan mereka.
“Sudah empat tahun saya cuba memperkenalkan diri kepada orang ramai namun progresnya masih agak perlahan. Kerana ya lah, tidak mudah untuk membuat orang lain menghargai dan mengingati kita.
“Namun begitu, saya ambil ia sebagai cabaran dan dorongan untuk saya terus berusaha memperkenalkan diri saya kepada orang ramai,” jelas anak kelahiran Johor itu.
Sebenarnya, penyanyi-penyanyi baru yang berbakat harus diberikan perhatian kerana mereka berpotensi untuk menjadi seseorang yang mampu mengharumkan nama negara pada masa akan datang.
Bagaimanapun, memahat nama dalam industri ini memang memerlukan masa lama, selagi berusaha pasti akan ada hasilnya.
Selepas memenangi Bintang RTM dan mengeluarkan lagunya yang pertama pada 2018 berjudul Yang Terbaik, pemilik nama Fadhli Hariz Fayahet enggan berhenti di situ.
Jejaka berusia 29 tahun itu meluaskan langkahnya ke Indonesia dengan mewakili Malaysia untuk pertandingan Dangdut Akademi Asia yang mana Hariz berjaya mendapat tempat ketujuh daripada 35 peserta.
“Menyertai pertandingan tersebut adalah pengalaman luar biasa bagi saya kerana genre lagunya jauh beza dengan apa yang sering dinyanyikan.
“Tetapi ia merupakan satu ilmu. Peminat-peminat di situ juga buat saya rasa terharu kerana tahap apresiasi mereka sangat berbeza berbanding di Malaysia,”katanya kepada Pancaindera.
Selain itu, penyanyi yang gemar memilih genre pop dan ballad itu pada tahun lalu mengeluarkan dua lagu bertajuk Pergi dan Hati Yang Tersakiti, yang dijadikan runut bunyi drama Hati Yang Tersakiti.
“Tahun ini pula, saya telah mengeluarkan sebuah lagi lagu bertajuk Lemas. Buat masa ini, belum ada label rakaman yang ingin bekerjasama dengan saya.
“Saya terbuka dan mengalu-alukan jika ada berminat,” ujar anak keempat daripada lima beradik itu.
Sebelum memulakan perjalanannya dalam indusri muzik, Hariz mendahulukan tahap pengajiannya. Kini, dia merupakan seorang graduan Sarjana dalam Seni Persembahan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Hariz berharap dapat mengetengahkan diri dalam industri ini supaya namanya boleh terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia sebagai seorang penyanyi.










