Bengang sungguh rakan Poklip apabila ada seorang pendatang baharu ‘mengajar’ dia untuk membuat kerja sebagai wartawan. Amboi dik! Nama pun tak popular mana, dah pandai tunjuk perangai.
Bukan golongan wartawan tidak boleh menerima teguran, cuma rakan Poklip ini bengang kerana nada si polan itu cukup menjengkelkan. Seolah-olah rakan Poklip ini tidak pandai buat kerja.
“Kalau hendak temuramah saya tak kisah, tetapi pastikan artikel itu sedap dibaca.”
Lebih kurang begitu bunyinya. Sakit pula hati Poklip bila tahu begini sombong segelintir pendatang baharu. Belum setahun jagung dalam industri, sudah ada perangai diva eh? Amboi!
Rakan Poklip itu baharu sahaja berniat untuk memberi publisiti kepada si polan itu. Mana tahu ramai produser yang berminat untuk menawarkan dia berlakon. Rakan Poklip ini memang rapat dengan ramai penerbit.
Cuma dik, salah oranglah kau cari pasal! Lain kali cuba bersifat bumi, jangan melangit sangat. Kita kena saling hormat menghormati. Terutama dalam industri yang mungkin kita akan bersua bicara berulang kali.
Kalau begini perangai kamu, tak ke manalah nanti. Cuba belajar daripada artis senior. Ikut yang baik sahaja tau, yang kurang berkenan itu simpan dalam peti!










