Mengikut perancangan Khamis ini bakal menjadi saksi perubahan status dirinya. Selepas enam tahun selesa dengan gelaran ibu tunggal, kini Ashira Aziz akan kembali ke alam rumah tangga. Mengakui berdebar, kongsinya dia yakin dengan keputusan ini. Walaupun ada yang melihat perkahwinan yang bakal berlangsung ini berlaku dalam keadaan tergesa-gesa tetapi bagi penyanyi lagu Di Ombak Resah ini di usia 36 tahun, bukan masanya lagi untuk dia berebut mencari cinta. Mengharapkan doa ikhlas daripada peminatnya, tiada apa yang lebih penting agar perkahwinan bersama ahli kumpulan Indigo, Bad ini terus dirahmati.
Bakal melangsungkan perkahwinan Khamis ini, perasaan?
Berdebar, tetapi esok baru saya buat pertemuan untuk prosedur pernikahan. Memandangkan akan bernikah luar kawasan. Jadi harapkan dipermudahkan segala urusan dan dapat diteruskan pada tarikh 11 Mac. Soal majlis buat masa ini tiada perancangan lagi, kami hanya akan teruskan yang wajib sahaja dahulu. Majlis pernikahan juga hanya akan dihadiri keluarga terdekat.
Bersedia?
Ikutkan selama enam tahun ini saya tidak pernah terfikir soal berkahwin. Memang sudah terbiasa dengan kehidupan yang dilalui, tetapi itulah jodoh bukan sesuatu yang boleh kita kawal. Soal bersedia memang saya bersedia dan dalam perkahwinan ini saya akan sentiasa mencuba menjadi seorang isteri yang baik.
Bila ada yang melihat keputusan berkahwin ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, malah ada yang terkejut sebenarnya, komen Ashira?
Saya sentiasa yakin dengan jodoh, jujurnya saya tidak terdesak dan bukan dipaksa mana-mana pihak untuk berkahwin. Ini adalah keputusan saya sendiri. Soal terlalu cepat buat keputusan bagi saya di usia ini bukan masanya lagi untuk bercinta beria-ria. Lebih indah sebenarnya untuk hubungan ini berlangsung selepas berkahwin.
Berbeza umur 10 tahun, apa yang membuatkan Ashira yakin untuk menerima Bad sebagai suami.
Sikapnya yang ikhlas buat saya cukup tersentuh. Di awal perkenalan kami dia sudah meminta izin untuk bertemu ibu bapa saya. Dari situ saya melihat kesungguhan dia untuk hubungan ini yang secara tidak langsung memberi sebab untuk saya membuka hati menerimanya.
Kemunculan semula Ashira dalam industri digemparkan dengan kisah kepayahan hidup yang dilalui. Melalui itu ada yang menggambarkan mungkin perkahwinan ini akan membuatkan kehidupan Ashira lebih baik. Ashira setuju?
Bila Bad menyuarakan hasratnya untuk berkahwin memang saya bertanyakan sama ada keputusan itu dibuat kerana rasa simpati sahaja. Jujurnya, jika benar saya memang tidak akan terima lamaran itu dan lebih rela bergelar ibu tunggal sahaja. Ikutkan selepas enam tahun melalui kehidupan sebagai seorang ibu tunggal, sedikitpun saya tidak pernah menyesal dengan perjalananan hidup saya. Jika sebelum ini saya boleh laluinya mengapa saya memerlukan perkahwinan. Tidak ada niat saya untuk menyusahkan sesiapa, selama ini juga saya boleh menampung kehidupan sendiri.
Selain anak sendiri, selepas berkahwin kelak Ashira juga bakal menjadi ibu kepada dua orang lagi anak. Boleh bersikap adil?
Tiada masalah, malah ketika ini juga anak-anak Bad juga boleh menerima saya. Sebagai seorang ibu menjadi fokus saya membesarkan kesemua anak-anak saya kelak secara adil. Tiada apa yang berbeza memandangkan kami akan menjadi sebuah keluarga, saya juga sudah menganggap anak-anak Bad juga seperti anak saya. Anak saya sendiri Megat Shazril Haziq Hadi juga tidak menghalang perkahwinan ini, baginya selagi saya bahagia itu adalah keputusan yang baik.
Adakah perkahwinan akan menyebabkan karier Ashira terkubur?
Ini juga persoalan yang saya tanya kepada Bad sebelum buat keputusan untuk berkahwin. Ikutkan dia tidak menghalang saya untuk terus aktif sebagai seorang penyanyi kecuali keputusan itu datang daripada saya sendiri. Bad juga akan sentiasa memberi sokongan, ikutkan buat masa ini saya masih belum puas dan memang sedang dalam perancangan untuk muncul dengan single.










