‘Ada peminat tak suka saya ganti Mamat’ - Ezad Lazim - Utusan Malaysia

‘Ada peminat tak suka saya ganti Mamat’ – Ezad Lazim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak di bangku sekolah lagi dia sudah bercita-cita menjadi seorang penghibur. Impiannya bukan sekadar angan kosong tetapi bersulam kesungguhan. Demi merealisasikan impian yang terbuku di kalbu dia berusaha mengintai peluang, walau terpaksa berkorban masa dan kerjaya.

Berjaya membuktikan usia bukanlah penghalang dalam mengejar cita-cita apabila berjaya merangkul gelaran juara dalam Pertandingan Bintang RTM Negeri Kedah pada 1992 dan Naib Juara dalam Pertandingan Bintang RTM Zon Utara pada 1993, sekali gus membuktikan kehebatannya dalam arena seni suara.

Tidak berakhir di situ, tuahnya tiba-tiba datang bergolek apabila ditawarkan menjadi seorang penyanyi untuk sebuah kumpulan terkenal di Kuala Lumpur.

Bersama Khabar Legenda, Mingguan Malaysia, anak jati Alor Setar, Kedah empunya nama Mohd. Rohaizad Mohamad Lazim, atau nama pentasnya Ezad Lazim, 42, membuka lembaran diari hidupnya untuk dikongsi bersama pembaca setia.

“Saya dihubungi oleh seseorang dari Kuala Lumpur dan tawarkan peluang jadi penyanyi untuk sebuah kumpulan. Pemanggil tersebut langsung tak beritahu kumpulan apa. Saya hanya diminta datang. Katanya, dia dapat nombor telefon saya dari Rahmat, penyanyi kumpulan Mega yang pernah menjadi juri ketika saya menyertai pertandingan bintang RTM sebelum ini.

“Saya ke Kuala Lumpur dengan ditemani arwah ayah. Sebaik sampai di Hentian Pudu Raya, dua lelaki menjemput kami. Hamid Sameon, Public Relations (PR) syarikat rakaman, dan seorang lagi cukup saya kenal iaitu, Musa anggota Exists,” katanya memulakan perbualan.

Dalam perjalanan dia terfikir adakah kedatangannya untuk menjalani uji bakat sebagai penyanyi Exists, namun dia tidak berani bertanya atau membuka mulut kerana takut dan malu. Fikirnya kehadiran Musa di situ mungkin sebagai pekerja yang bertugas di syarikat rakaman yang menawarkan peluang kepadanya ketika itu.

Teka-teki yang bermain di minda akhirnya terjawab apabila dibawa ke sebuah taman perumahan. Sebaik melangkah masuk ke sebuah rumah di situ jantungnya berdebar kencang apabila melihat anggota Exists bersedia menanti kedatangannya.

“Tidak dapat digambarkan perasaan ketika itu. Tak sangka berjumpa dengan anggota kumpulan popular yang merupakan idola saya selama ini. Seterusnya saya menjalani uji bakat di situ. Caranya amat simple, saya menyanyi sambil diiringi petikan gitar dari mereka.

“Selesai uji bakat saya tidak diberi keputusan. Memang rasa tak puas hati dan tertanya-tanya sama ada berjaya atau tidak. Selepas pulang ke Kedah saya terbaca iklan di akhbar di mana kumpulan Exists mengadakan uji bakat mencari penyanyi baru. Apa lagi, saya pun terus datang sekali lagi untuk mencuba.

“Pada hari uji bakat mereka terkejut apabila melihat kehadiran saya. Mereka lantas memberitahu yang saya tidak perlu datang lagi, namun saya bertegas nak cuba juga kerana uji bakat ketika itu lebih official,” ujarnya ketawa.

Setelah menunggu hampir tujuh bulan barulah syarikat rakaman menghubunginya. Menurutnya dia sendiri tidak menyangka berjaya. Jauh di fikiran dia tertanya-tanya adakah pemilihannya dibuat atas dasar bakat ataupun dasar kasihan terhadapnya yang telah bersusah payah datang sebanyak dua kali. Atau mungkin mereka tiada calon lain yang layak selain dirinya.

Selepas menerima tawaran, dia berhijrah ke Kuala Lumpur. Mulanya agak sukar untuk dia menyesuaikan diri memandangkan Exists sudah meniti populariti dan dikenali, tambahan pula masih dibayangi penyanyi lama mereka, Mamat.

Tekanan yang diterima tidak berakhir di situ. Muncul pula segelintir peminat fanatik Exists yang menyuarakan rasa tidak puas hati apabila tahu dia mengisi kekosongan tersebut.

“Sebagai orang baru dalam kumpulan, saya terpaksa hormat dan ikut cakap mereka. Selalu jugalah saya kena buli. Biasanya kena pergi kedai beli barang-barang ataupun disuruh angkat peralatan muzik mereka. Namun saya tak pernah rasa marah atau kecil hati. Perkara macam ini lumrah. Memang normal senior akan ragging junior.

“Fasa permulaan saya tidak diberi kebebasan sepenuhnya dalam berkarya. Album pertama yang saya rakamkan bersama mereka adalah lagu-lagu yang sepatutnya dinyanyikan oleh Mamat. Jadi sedikit sebanyak saya terpaksa ikut flow yang ditetapkan.” ujarnya.

Album Diammu Gunung Berapi yang diterbitkan pada 1995 adalah titik tolak dirinya, Rilisan ini berjaya mencapai jualan 80,000 unit di Malaysia serta mencecah lebih 600,000 unit di Indonesia. Kemahsyuran Exists diteruskan lagi dengan pemibikinan album Mencari Alasan untuk pasaran Indonesia.

“Penyertaan saya bersama Exists adalah cabaran besar buat anggota lain. Ia lebih kepada konsep try and error. Mereka masih melihat situasi adakah saya ini calon yang tepat dan layak membawa nama Exists ke tahap tertinggi seperti sebelum ini.

“Pernah ketika mengadakan persembahan di Johor Bahru, penonton yang datang boleh dibilang dengan jari. Gara-gara peminat belum dapat menerima kehadiran saya menggantikan tempat Mamat,” katanya.

Walau berjaya menghasilkan lebih 10 album bersama Exists, Ezad mengakui karya terbaiknya hadir melalui album Ada yang diterbitkan pada 2001. Selain diberi kebebasan untuk mencorakkan identiti sendiri, populariti lagu Jasnita juga berjaya menjulang namanya.

Panas tidak sampai ke petang apabila pada 2007, berlakunya perselisihan faham dan masalah dalaman antaranya dengan anggota lain. Tidak menunding jari menyalahkan sesiapa, dia akhirnya angkat kaki dan meneruskan karier sebagai penyanyi solo.

“Tidak mudah dan kekok apabila bergerak solo. Maklumlah sebelum ini setiap persembahan diiringi anggota kumpulan. Jadi saya kena bina identiti sendiri dan cuba lari dari watak sebelum ini.

“Ketika itu pelbagai masalah lain pula timbul antaranya pengurusan yang tidak cekap dan kelam kabut. Selain itu wujud pula masalah peribadi apabila terjebak dengan anasir yang tidak sihat. Memang itu silap saya kerana berkawan dengan orang yang salah. Tahun 2008 hingga 2009 merupakan tahun gelap buat karier saya,” katanya.

Pada 2019, Ezad dan Exists akhirnya mencapai kata sepakat untuk melakukan reunion. Perancangan menjadi kenyataan apabila peminat memberikan sambutan luar biasa ketika persembahan pertama mereka di Stadium Shah Alam serta konsert di Singapura. Sekali gus membuktikan mereka masih mempunyai aura.

Cadangan membuat konsert jelajah di seluruh Malaysia akhirnya terpaksa ditangguhkan gara-gara pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Kesempatan tersebut diambil oleh Ezad untuk mengeluarkan single terbaharu berjudul Jarak Waktu yang diterbitkan pada Februari lalu.

“Selain meneruskan nyanyian seperti biasa, saya juga menjalankan bisnes kecil-kecilan seperti membuka gerai burger yang diuruskan oleh pekerja. Buat masa ini baru dua cawangan dibuka iaitu di Nilai dan Dengkil.

“Saya juga merupakan rakan niaga untuk produk Kopi Badang serta menjadi pembekal kurma yang dibawa dari Madinah. Saya membuka peluang kepada individu yang berminat untuk menjadi agen perniagaan kurma ini. Mereka bolehlah hubungi saya di talian 012-6962116 untuk maklumat lanjut,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×