Waheeda: Niqab, nyanyian dan cinta - Utusan Malaysia

Waheeda: Niqab, nyanyian dan cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELEWATI ruang Instagram milik wanita ini, pasti akan ada pertanyaan bila agaknya dia akan kembali ke pentas nyanyian. Itu bukan sesuatu yang menghairankan.

Lebih sedekad meninggalkan dunia seni suara, aura dan nama Waheeda kekal berlegar. Dia tidak pernah hilang daripada ingatan peminat. Video dan gambarnya diulang pakai walaupun kini dia sudah berniqab.

Lantas pertanyaan adakah penyanyi lagu Wassini sudi tampil sebagai wajah sampul hadapan Pancaindera santun dilontar. Dia juga menyambut penuh budi, merealisasikan impian.

Siapa sangka, selepas 12 tahun matanya kembali menjadi tatapan anda. Sukar sebenarnya untuk dia menjayakan sesi fotografi ini. Ketar lutut dan gigil tubuh tanda kurang selesa. Mungkin kerana sudah lama tidak berdiri di hadapan kamera.

Awal bicara dia sudah khabarkan, dia memang punya penyakit anxiety. Dia tidak boleh menyimpan rasa merinding itu. Lantas semampunya kami membingkaikan wanita ini sepantas boleh.

Ditemani suami tercinta, Ustaz Akill Hay, gelanggang soalan dibuka. Kemas melontar pertanyaan, jawapan yang diberi disambut perlahan. Adakah dia bakal kembali menyanyi? Suasana sepi seketika.

“Memang ramai yang bertanya bila nak buat comeback? Saya tanya balik, apa maksud comeback itu? Saya masih dalam industri tetapi cukup di belakang tabir menghasilkan lagu dan lirik.

“Kembali menyanyi? Mungkin, tidak mustahil. Tetapi di hadapan wanita sahaja ya. Kembali beraksi di pentas berhadapan umum? Tidak. Saya tidak mahu lagi mengulangi ‘kesilapan’ dahulu. Cukup!

“Bila? Terserah kepada Allah. Sudah lama saya serahkan jalan hidup ini mengikut apa yang ditulis Tuhan,” katanya memulakan bicara.

Peluru soalan terus ditembak. Waheeda santun menjawab. Siapa akan lupa gaya tangan dihayun ketika menyanyi, gema suara yang unik. Itu Waheeda!

Lantas ditanya tiadakah rasa rindu dalam hatinya untuk kembali menyanyi, dia menjawab dengan tawa dahulu. Lama juga dia membungkam rasa. Menggeleng kepala lantas menjawab;

“Rindu tetapi kepada sahabat-sahabat seni. Rindu membuat persembahan? Ada tetapi saya ini gemuruh orangnya. Cuma rindu bila kita dapat berinteraksi dengan peminat. Kita ada ruang untuk bertemu peminat berkongsi rasa sama.

“Kehadiran saya sendiri dalam industri juga satu takdir yang tidak disengajakan. Ada satu ketika, peminat datang meminta tanda tangan tetapi saya bertanya, kenapa ya? Jadi popular ini sesuatu yang menakutkan.

“Agama suruh kita jaga aib. Bila popular, secara automatik kita menjadi pemimpin. Jika betul pembawaan kita ada ganjarannya. Tetapi jika salah, jawablah nanti di akhirat.

“Cukuplah dengan apa yang telah saya lalui. Tiada siapa tahu betapa saya takut dan bimbang untuk berada di atas pentas,” luah anak kelahiran Johor ini.

Buka niqab? Mungkin

Tidak mudah sebenarnya membawa Waheeda menuju ke satu perbualan soal niqab. Perlu ada rasa hormat supaya soalan tidak kedengaran janggal. Takut ada hati yang terluka dan kurang selesa.

Diaju soalan, akan tibakah satu masa nanti dia membuka niqabnya? Menunjukkan semula wajahnya kepada umum. Tetapi bukan untuk bermegah. Mungkin ada sebab tertentu yang menjadi itu satu realiti.

“Suami pernah berkata, apa kata kalau saya buka niqab. Saya tanya, adakah itu satu arahan atau pandangan. Sebelum ini memang saya mempunyai masalah pernafasan. Selalu mengah dan tak cukup nafas.

“Memakai niqab bukan sesuatu yang wajib. Ini adalah satu pilihan. Bayangkan, pernah sahaja saya diganggu lelaki walaupun memakai niqab. Maka, perlukah saya berfikir dua kali untuk membukanya?

“Buatlah sesuatu kerana agama dan niat itu ikhlas demi Tuhan. Jangan kita mewajibkan sesuatu yang tidak wajib. Ramai yang berkongsi niat mereka memakai niqab, soalan saya satu, untuk apa?” katanya.

Membuka cerita soal niqab, Waheeda yang pernah menghasilkan tiga album ini mengakui rasa bersalah yang merantai hati membuatkan dia nekad untuk menutup wajahnya. Dia pernah ‘lalai’ dalam kehidupan satu ketika dahulu.

“Saya rasa bersalah dengan Tuhan. Gambar saya dilihat, disimpan oleh ramai peminat. Dahulu pakai bulu mata palsu dan macam-macam lagi. Cuma saya bercakap tentang diri sendiri, tidak orang lain.

“Buat masa ini, saya selesa berniqab. Membukanya itu bukan satu kesalahan dan mungkin satu hari nanti tetapi bukan sekarang,” kata pelakon Jutawan Fakir dan Nana Tanjung ini.

Kejar bahagia akhirat

Mensyukuri kehidupan apa adanya, penyanyi yang pernah menggenggam trofi tempat ketiga Festival Muzik Voice of Asia 2004 ini bahagia dengan perjalanan hidup yang ditulis Tuhan. Tiada lebih yang mahu dikejar.

Mendirikan rumah tangga 12 tahun dahulu, kemesraan dua sejoli ini terlihat. Mereka tiada menyembunyikan sisi humor dan santai. Apa yang diperlihatkan kepada umum bukan kepura-puraan semata.

Malah tatkala saya memanggil Akill dengan gelaran ‘abang’, Waheeda ketawa sendiri dan berkata; “Dekat rumah pun saya tak panggil dia abang. Lain rasanya.’” Kata-katanya disambut dengan lirikan senyum besar Akill.

“Alhamdulillah, saya gembira dan bahagia. Ramai peminat yang tetap berhubung menerusi media sosial. Bertanya khabar dan berkongsi pengalaman masing-masing. Itu penting sebenarnya.

“Saya sangat menghargai mereka yang mengenali Waheeda dari sisi berbeza. Mereka mengenali karya-karya saya bukan setakat Wassini dan Binafsha. Saya harap selepas ini, ramai lagi akan dengar karya Waheeda melalui suara-suara penyanyi lain,” katanya.

Rajin menjawab soalan peminat di Instagram, Waheeda ramah berkongsi pendapat dan buah fikiran. Tidak hairan, semasa sesi soal jawab berlangsung, dia lebih banyak melontarkan pertanyaan berbanding jawapan.

“Sudah lama saya tidak bertemu rakan media. Kesempatan ini saya gunakan sebaik mungkin. Saya memang seorang yang suka bertanya. Ada sahaja perkara yang terlintas di fikiran ini.

“Kita belajar seseorang itu daripada cara dia berfikir dan berbicara. Saya menghormati apa sahaja pendapat. Jika tidak selari, saya terima. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk berdiri dalam ruang yang sama,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×